JKN Pulau Pinang sambut baik cadangan One Hope buka kaunter khas di hospital, bantu pesakit memerlukan

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang menyambut baik cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare Berhad (One Hope) untuk membuka kaunter khas di hospital-hospital kerajaan di negeri ini bagi membantu kumpulan pesakit kurang berkemampuan serta memerlukan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib menyifatkan bahawa cadangan tersebut sebagai wadah untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya amat berbesar hati dengan cadangan tersebut kerana dilihat dapat membantu pesakit terutamanya mereka yang tidak mempunyai insurans.

“(Dan) pihak kami (JKN Pulau Pinang) akan mengadakan perbincangan bersama-sama pihak Kementerian Kesihatan serta bakal memaklumkan dan melihat bagaimana pelaksanaannya kelak,” katanya kepada pemberita sejurus Majlis Sumbangan Peralatan Perubatan kepada JKN Pulau Pinang oleh One Hope di Bangunan MARA dekat sini pagi ini.

KETUA Menteri bersama-sama Dr. Asmayani Khalib (dua dari kanan), Chua Sui Hau (dua dari kiri) dan R. Arunasalam (tiga dari kanan) dibawa melihat sebahagian alatan yang disumbangkan sejurus majlis di sini, pagi ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang hadir menyaksikan penyerahan berkaitan turut menyatakan pendirian sama.

“Sememangnya ada kumpulan pesakit yang kurang berkemampuan untuk membeli ubat-ubatan atau peralatan (perubatan) yang diperlukan.

“Justeru, cadangan untuk mewujudkan kaunter khas di hospital-hospital dapat membantu kebajikan pesakit yang mana pesakit tidak perlu untuk ‘ketuk pintu’ di sana sini.

“Saya berharap pihak hospital dapat mempertimbangkan cadangan ini bagi membantu pesakit di samping melancarkan urusan pesakit,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan atas inisiatif yang dilakukan oleh badan kebajikan bukan kerajaan tersebut.

Ditanya mengenai respons Kerajaan Negeri terhadap inisiatif One Hope itu, Kon Yeow berharap lebih banyak NGO tampil menghulurkan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan.

“Di Pulau Pinang, banyak NGO yang aktif serta prihatin dan ia menjadi kekuatan kepada negeri ini kerana dapat sama-sama menggemblengkan tenaga untuk menambah baik serta mengisi ‘kekosongan’ di peringkat komuniti.

“Pada peringkat Kerajaan Negeri, daripada segi kesihatan, sememangnya kita tidak mempunyai peruntukan secara langsung namun kita mempunyai inisiatif membantu rakyat seperti pemeriksaan mamogram dan AES (Agenda Ekonomi Saksama).

SALAH seorang jururawat menunjukkan cara penggunaan ‘infusion pump’ kepada pengamal media.

“Oleh itu, saya berharap agar perkara ini (mewujudkan kaunter khas di hospital) dapat diusahakan secara bersama-sama antara NGO dan pihak kerajaan,” responsnya.

Ketika ditemui, Pengerusi One Hope, Chua Sui Hau menyatakan kesediaan untuk membantu pihak hospital memberi peralatan perubatan serta pesakit yang memerlukan bantuan.

“Sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini, kami telah memberi sumbangan peralatan perubatan kepada Hospital Bukit Mertajam, Hospital Balik Pulau dan Hospital Sungai Bakap.

ANTARA peralatan perubatan yang disumbangkan oleh One Hope kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di sini.

“Malah, One Hope juga telah mengeluarkan dana amal hasil sumbangan orang ramai hampir RM7 juta tahun ini bagi tujuan berkaitan.

“Oleh sebab itu, pihak kami mencadangkan untuk membuka kaunter khas ini supaya dapat menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan pertolongan terutama mereka yang kritikal tetapi tidak mampu membayar kos perubatan,” jelasnya yang mencadangkan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya sebagai perintis bagi pelaksanaan inisiatif ini.

Terdahulu, Sui Hau bersama-sama Penasihat One Hope, Dato’ Sri R. Arunasalam menyerahkan peralatan perubatan kepada Asmayani yang mewakili JKN Pulau Pinang sambil disaksikan oleh Kon Yeow.

Difahamkan, peralatan seperti kerusi roda, lampu dewan bedah, stetoskop, intensive photo therapy light, peti sejuk farmaseutikal, glucometer, alat periksa tekanan darah dan suhu akan diserahkan kepada enam buah hospital kerajaan dan lima buah klinik kesihatan daerah dengan kos keseluruhan berjumlah RM300,000.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD