GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menjalankan langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung penulatan wabak Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) di negeri ini.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata ia susulan sebanyak 1,954 kes HFMD telah dilaporkan di Pulau Pinang sejak awal tahun ini sehingga minggu epidemiologi (ME) 8/2025 pada 22 Februari lalu.
“Didapati telah berlaku peningkatan kes HFMD di negeri ini sebanyak 12.8 peratus iaitu daripada 171 kes dalam ME 7/2025 kepada 193 kes dalam ME 8/2025.
“Kebanyakan kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah iaitu sebanyak 1,484 kes atau 75.94 peratus, manakala bagi kumpulan umur 7 tahun hingga 12 tahun sebanyak 359 kes (18.37 peratus).
“Walau bagaimanapun, kes-kes HFMD ini disebabkan oleh jangkitan Coxsackievirus A16 (CA16) dan Coxsackievirus A6 (CA6) yang biasanya menimbulkan gejala ringan.
“Tiada kes HFMD di negeri ini yang dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dan tiada kes kematian direkodkan membabitkan penyakit tersebut setakat ini,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.

Zi Sen berkata, pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan taska merupakan premis berisiko berlakunya wabak HFMD berikutan terdapat dua atau lebih kes direkodkan dalam satu lokaliti yang mempunyai kaitan epidemiologi.
“Daripada 37 wabak yang dilaporkan, sebanyak dua kes atau 75.7 peratus melibatkan taska, tadika, tabika, dan prasekolah, manakala lapan kes (21.6 peratus) melibatkan sekolah rendah dan satu kes (2.7 peratus) lagi dilaporkan di pusat jagaan,” katanya.
Zi Sen berkata, JKNPP melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan pemeriksaan dan penutupan premis yang terlibat dengan wabak HFMD bagi pemutusan rantaian jangkitan HFMD di negeri ini.
“JKNPP juga telah menjalankan aktiviti nyahkuman secara menyeluruh pada permukaan dalam dan luar taska, tadika, tabika, dan prasekolah termasuk alatan permainan serta alat bantuan mengajar.
“Selain itu, pendidikan kesihatan juga didedahkan kepada penjaga kanak-kanak, guru-guru dan ibu bapa selain memberikan khidmat nasihat kepada pengurusan induk taska dan tadika francais bagi memudahkan pemantauan dan nasihat kesihatan,” jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai terutamanya ibu bapa atau penjaga serta pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, taska dan tadika supaya mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.
“Langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang harus dilakukan termasuk memeriksa keadaan kesihatan anak setiap hari dan segera melakukan pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran sekiranya bergejala.
“Ibu bapa juga dinasihatkan untuk mengelakkan menghantar anak ke pusat jagaan, tadika atau sekolah serta tempat-tempat tumpuan awam jika anak mengalami gejala HFMD.
“Selain itu, pengendali pusat jagaan kanak-kanak juga digalakkan untuk melakukan saringan gejala (gatekeeping screening) di pintu masuk premis serta memasikan aspek kebersihan sentiasa terjaga rapi.
“Bagi pengusaha taman permainan dalaman, mereka perlu mengambil tindakan pencegahan dengan melakukan saringan di pintu masuk premis, mencuci peralatan sekurang-kurangnya dua kali sehari.
“Mereka turut digalakkan menyediakan kemudahan mencuci tangan serta meletakkan papan peringatan berkaitan risiko jangkitan HFMD di pintu masuk premis,” sarannya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING