GEORGE TOWN – Sebanyak 154 kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kepada pengendali makanan di negeri ini mulai awal Januari sehingga 10 Mac 2025.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bahawa jumlah kompaun yang dianggarkan bernilai RM23,000 itu adalah melibatkan pelbagai kesalahan pengendalian makanan di bawah Akta Makanan 1983 – Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makana 2009.
Beliau berkata, dalam tempoh yang sama JKNPP telah mengambil sebanyak 68 sampel makanan untuk dianalisis dan tindakan mahkamah telah diambil terhadap kesalahan yang dikenal pasti.

“Secara keseluruhannya, JKNPP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan ke atas 1,176 premis makanan dan kilang ais sejak 1 Januari sehingga 10 Mac lalu.
“Selai itu, JKNPP turut memeriksa 2,299 pengendali makanan bagi memastikan pematuhan kepada syarat asas pengendalian makanan dan sebanyak 154 kompaun telah dikeluarkan setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Mesra ke Bazar Ramadan Batu Kawan di sini semalam.
Turut serta,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Majlis Bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Lim Chee Chien; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr. Rozaini Mat Shah serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Sazly Azizuddin Sahaimi.
Zi Sen berkata, kompaun yang dikeluarkan adalah membabitkan pelbagai kesalan termasuk tidak mengambil suntikan tifoid, tidak mengikuti kursus berkaitan pengendalian makanan, tidak menjaga kebersihan diri, tidak memakai apron serta memakai perhiasan seperti jam tangan cincin dan sebagainya.
“Saya menasihati peniaga khususnya di bazar Ramadan supaya mengamalkan kebersihan dan pengendalian makanan yang selamat bagi melindungi kesihatan pengguna.
“Di pihak pengguna pula, adalah disarankan untuk memilih gerai yang bersih serta mengamalkan prinsip “Perhati & Pilih… Amalkan Lihat, Hidu & Rasa” sebelum menikmati makanan berbuka puasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zi Sen berkata daripada seramai 2,213 pengendali makanan atau 90 peratus daripada jumlah yang diperiksa didapati telah mengambil suntikan tifoid, manakala pengendali yang tidak mendapat suntikan diminta untuk berbuat demikian dalam kadar segera.
“JKNPP hanya menerima satu aduan setakat ini berkaitan pengendalian makanan di bazar Ramadan iaitu membabitkan pembungkusan makanan menggunakan plastik dan perkara itu masih dalam proses siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Zi Sen turut menasihati ibu bapa supaya menitikberatkan pemakanan yang seimbang untuk anak-anak sepanjang bulan Ramadan.
“Pastikan makanan yang diterima oleh anak-anak adalah berkhasiat dan berzat untuk memastikan Kekihatan mereka sentiasa terjaga,” katanya yang juga ADUN Padang Lalang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD