GEORGE TOWN – 13 kawasan cerun, termasuk hentian rehat, laluan pejalan kaki serta laluan kereta pacuan empat roda dikenal pasti mengalami bencana tanah runtuh ekoran hujan lebat baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari bagaimanapun berkata, beberapa kawasan bencana berkenaan mula dibaik pulih demi keselamatan penduduk setempat serta pelancong.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih.
“Dulu di bahu jalan naik ke Bukit Bendera ini adalah longkang, tetapi, sekarang semuanya sudah ditutup dan menjadi sebahagian jalan.
“Pengguna, khususnya penduduk di sini sudah boleh menggunakan jalan ini, cuma perlu berhati-hati,” ujar Zairil di Penang Institute di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( A D U N ) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng dan Lee Chun Kit (Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) turut hadir pada sidang media tersebut.
Dari maklum balas yang diterima daripada JKR, beliau berkata, kerja-kerja membaik pulih kawasan bencana dijangka memakan tempoh tiga hingga empat bulan.
Beliau berkata, pihaknya berharap JKR dapat membaik pulih kawasan-kawasan bencana secepat mungkin demi kepentingan rakyat.
Dalam perkembangan berasingan, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut mengadakan lawatan kilat ke kawasan kejadian.