Johari Abdul syor tambah bilangan Ahli Parlimen Belia ikut 222 kawasan konstitusi

Admin
8e67f83d 6dc9 4501 9d0e 282aa7c759a3 JOHARI Abdul (atas, kanan sekali) serta rombongan kerjanya disambut Speaker DUN Pulau Pinang, Law Choo Kiang (atas, dua dari kanan) di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Asal diwujudkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), 138 kerusi Ahli Parlimen Belia wajar ditambah menjadi 222 mengikut bilangan kawasan konstitusi serta dipertandingkan seperti proses pemilihan Ahli Parlimen yang sebenar.

f5d07888 3ae7 4b08 8f31 4678a3bfc956
JOHARI Abdul

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul berkata langkah reformasi institusi itu dicadangkan demi menyuburkan lagi semangat pendemokrasian negara selain menyediakan barisan pemimpin pelapis yang berkualiti di Parlimen kelak.

Beliau memberitahu syor itu kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang seusai mengadakan lawatan kerja ke bangunan DUN Pulau Pinang di sini pada 6 Ogos 2024.

“Kita sedang melihat kembali perjalanan Parlimen Belia…ia bukan suatu konsep tapi sebenarnya secara fizikal memang ada.

“Definisi Ahli Parlimen Belia adalah mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun; sekarang ada (kira-kira lebih) 100 Ahli Parlimen (Belia).

“Apabila berakhir sesi perkhidmatan mereka ini, saya akan meningkatkan bilangan kepada 222 orang, dan kita akan mencadangkan setiap kawasan (Parlimen) di Malaysia akan diwakilkan oleh seorang Ahli Parlimen Belia,” jelasnya kepada pemberita.

Mengulas lanjut, beliau berkata 222 Ahli Parlimen Belia yang dipilih juga akan menyertai tiga kali persidangan atau mesyuarat di Parlimen dalam setahun, seperti Ahli Parlimen Malaysia.

“Harapan saya, (sekalian 222 Ahli Parlimen Belia) inilah anak-anak muda yang akan lahir dan menjadi Ahli Parlimen pada masa hadapan

“Saya dah masuk dan dengar (sesi persidangan Ahli Parlimen Belia), mereka berkualiti dan mudah-mudahan akan menjadi Ahli Parlimen yang berkualiti pasa suatu hari nanti,” katanya lagi.

Di bawah rangka kerja reformasi institusi Parlimen Malaysia juga, Johari memberitahu bahawa akan diwujudkan Kamar Khas yang mana berfungsi untuk Ahli Parlimen membangkitkan isu-isu lokal berkaitan untuk mendapat respons daripada Menteri atau Timbalan Menteri berkenaan.

“Kamar Khas ini adalah suatu kamar macam (persidangan) biasa cumanya menjurus pada soalan-soalan tempatan (yang mana) soalan ditanya oleh Ahli Parlimen khusus untuk isu lokal.

“Contohnya, Ahli Parlimen Jelutong nak bawa isu-isu tempatan negeri Pulau Pinang (seperti) isu kesesakan trafik luar biasa di negeri Pulau Pinang; (ataupun) banjir yang sentiasa berlaku di Pulau Pinang; isu-isu lokal ini hanya melibatkan kepentingan orang Pulau Pinang sahaja; orang Johor atau orang Melaka tiada kepentingan dalam isu tempatan ini.

“Maka, Menteri-menteri yang berkaitan mesti menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen berhubung kawasan mereka,” jelasnya lagi.

Difahamkan, lawatan kerja delegasi Speaker Dewan Rakyat ke DUN Pulau Pinang tadi adalah antara siri jeraya wara bersempena Pra Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia Tahun 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 15 September depan di Kuching, Sarawak.

Kata Johari dalam sesi temu bincang di DUN Pulau Pinang tadi, lawatan kerja ini antara lain bertujuan meningkatkan kesalingfahaman dan jalinan kerjasama antara Parlimen Malaysia dan DUN Se-Malaysia untuk melonjak kefahaman kepada rakyat khususnya masyarakat luar bandar mengenai fungsi pengubalan undang-undang di Malaysia.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI