GEORGE TOWN – Penganjuran larian The Colourful Run 4.0 diharap mampu mengumpulkan sekurang-kurangnya RM100,000 bagi mengisi tabung Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA).
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee pada sidang media hari ini mengajak orang ramai untuk menyertai dan memeriahkan penganjuran berkenaan disamping beramal membantu persatuan berkenaan.
“Dana yang dikumpul ini akan diguna untuk memfokuskan kepada kepentingan pendidikan dan pembangunan komuniti orang pekak di Pulau Pinang.
“Penganjuran program ini sempena sambutan Minggu Orang Pekak Antarabangsa akan jadi lebih bermakna apabila masyarakat Pulau Pinang secara inklusifnya dapat memeriahkannya dan bersama-sama mereka (warga pekak),” ujar beliau pada sidang media di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Presiden PDA, Razman Tan, ahli-ahli PDA serta wakil-wakil penaja.
The Colourful Run 4.0 akan berlangsung pada 22 September ini, bertempat di Dewan Sri Pinang pada jam 7.30 pagi.
Difahamkan sehingga kini, penganjuran berkaitan telah menerima hampir 900 penyertaan, oleh demikian Lip Chee berharap jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan lain-lain dapat mendaftarkan diri selewat-lewatnya esok (30 Ogos).
Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila menghubungi PDA di talian 04-2260160/017-2020061 atau layari Facebook https://m.facebook.com/PDAPenang.
Dalam sidang media sama, Lip Chee turut menyeru anak muda yang mempunyai masalah pendengaran untuk mendaftarkan diri sebagai ahli PDA.
“Melalui persatuan ini, lebih mudah untuk Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan dan saya sedia untuk membantu dari segi yuran pendaftaran,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal itu lagi.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI