Jom derma darah, jangan gusar – Mohd. Bazid

Admin

PANTAI JEREJAK – Orang ramai dinasihatkan agar tidak gusar untuk menderma darah ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini.

 

Menurut Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar, prosedur standard operasi (SOP) seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan penyediaan pensanitasi secukupnya akan dijaga sebaik mungkin.

 

“Dalam tempoh sekarang memang saya rasa sasaran kutipan pain darah kita jangka akan menurun… itulah sebab kita panggil media minta kempen derma darah PDC ini diuar-uarkan dengan penuh agresif.

 

“Kerana, saya telah pergi ke pusat beli-belah, sudah ramai orang keluar, jadi disitu nampak kegusaran itu sudah kurang, jadi setidak-tidaknya kita sasarkan 300 pain darah yang dapat didermakan oleh orang ramai.

 

“Kalau kurang dari 300 (pain) itu pasti mengecewakan PDC, kalau 300 sekurang-kurangnya hampir 1,000 nyawa dapat diselamatkan,” ujar Mohd. Bazid dalam sidang media Kempen Derma Darah PDC 2020 dekat Bangunan PDC Bayan Baru semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Kanan PDC, Jamil Ibrahim dan Pengurus Kanan Bahagian Korporat PDC, Aznita Zainuddin.

 

Untuk itu, PDC akan mengadakan Kempen Derma Darah PDC 2020 di Tingkat 3 Komtar pada 1 dan 2 September 2020 dari jam 9pagi hingga 4petang.

 

Bagi lokasi kedua, kempen tersebut akan diadakan di Mydin Mall Bukit Mertajam pada 21 November 2020 juga pada jam 9pagi hingga 4petang.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Bazid memberitahu, program yang sudah diadakan sejak tahun 2007 hingga 2019 itu telah berjaya mengutip 4,690 pain darah.

 

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat memenuhi dua lokasi disenaraikan bagi membantu tabung darah di Pulau Pinang dalam membantu menyelamatkan nyawa.

 

Antara keistimewaan apabila seseorang itu menderma darah adalah kos rawatan percuma di hospital kerajaan mengikut tempoh terakhir menderma dan terma-terma ditetapkan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS