Jom ke Festival Penang2030, peluang bertemu Ketua Menteri!

Admin
whatsapp image 2024 08 01 at 3.40.28 pm

GEORGE TOWN – Penganjuran Festival Penang2030 di bangunan ikonik Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 21 dan 22 September nanti memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk bertemu secara eksklusif dalam sesi ramah mesra bersama-sama Ketua Menteri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran julung kali ini juga menawarkan peluang eksklusif kepada orang ramai khasnya penduduk di Pulau Pinang untuk mengunjungi Komtar dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Festival ini adalah hasil usaha sama antara Kerajaan Negeri bersama-sama pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga pihak swasta.

“Ia merupakan komitmen secara kolektif dalam mewujudkan kemakmuran, inklusif dan masa depan yang mampan untuk semua rakyat Pulau Pinang.

“Malah, penganjuran ini juga sejajar dengan Visi Penang2030, ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Pembangunan Lestari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Normaira Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Ts. Khoo Boo Wooi; Pengarah Urusan Penang Green Council (PGC), Josephine Tan dan Ketua Pegawai Operasi PDC SetiaUrus (PDCSU), Loi Kai Horng.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balksih Othman dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee antara yang turut serta.

Pada sidang media sama, Kon Yeow turut mengumumkan penganjuran pertandingan melukis untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang bermula pada hari ini (1 Ogos) sehingga 30 Ogos 2024.

“Tema pertandingan yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang adalah ‘Penang2030’ yang mana para peserta perlu terjemahkan idea serta impian mereka tentang Pulau Pinang pada tahun 2030 nanti.

“Lukisan terbaik akan dipamerkan sepanjang berlangsungnya festival ini,” katanya yang juga merupakan Exco Komunikasi.

Dalam pada itu, Kon Yeow mensasarkan kehadiran 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran Festival Penang2030.

“Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan bawalah keluarga dan sertai festival ini,” serunya.

whatsapp image 2024 08 01 at 3.51.20 pm

Festival Penang2030 merupakan anjuran Unit Penang2030 dengan kerjasama MBPP, MBSP, Tech Dome Penang dan PGC serta disokong oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC); PDCSU; Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP); George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); Lembaga Muzium Negeri; Perbadanan Perpustakaan Negeri; Penang Science Cluster dan lain-lain agensi serta jabatan kerajaan.

Turut mengambil bahagian, ICT Mall Komtar, The Top, Popular Bookstore, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Tesla.

Difahamkan, pelbagai aktiviti disaji kepada pengunjung sepanjang dua hari tersebut antaranya meneroka planet dan bintang-bintang; menikmati suasana di zoo mini; berhibur dengan pameran dan persembahan interaktif sains; bermain permainan tradisional; menyertai bengkel pendidikan hijau dan STEM; berinteraksi dengan jabatan dan agensi kerajaan serta bertemu pemain bola sepak profesional negara, Faiz Subri.

Maklumat lanjut, layari laman sesawang www.penang2030.com atau Facebook rasmi barisan penganjur bersama.

Jumpa di sana!

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NURATIKAH RAHMAT