BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap penganjuran buat julung kalinya Festival Ramadan Pulau Pinang 2024 di Tapak Pesta Sungai Nibong mampu memperoleh sambutan positif daripada semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Beliau menyifatkan pemilihan tapak berkaitan sebagai lokasi strategik, selesa dan terkenal untuk para peniaga mencari rezeki sesuai dengan ketibaan Ramadan.
“Besarlah harapan Kerajaan Negeri dan saya percaya, bersama rakyat Pulau Pinang untuk melihat pelaksanaan festival Ramadan ini mendapat sambutan yang positif oleh para pengunjung yang ingin mendapatkan hidangan iftar menarik dan juga persiapan awal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
“Dengan jumlah 150 gerai menjual pelbagai juadah makanan, minuman serta barangan pakaian, ia diharapkan bakal mendapat tempat di hati rakyat Pulau Pinang,” ujar Kon Yeow pada Majlis Taklimat Untuk Peniaga Di Festival Ramadan 2024 dan Majlis Penyerahan Apron Kepada Peniaga di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zabidah Safar dan Penganjur Majlis dan Pengarah Rizunads Creative Production, Mohamad Ridzuan Nasir.
Festival Ramadan Pulau Pinang 2024 akan berlangsung bermula 15 Mac ini sehingga 10 April depan.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap promosi besar-besaran dijalankan bagi menarik kehadiran orang ramai ke lokasi penganjuran berkenaan.
“Tempat baharu pasti ada cabaran tersendiri, perlukan lebih banyak publisiti sebarkan kepada rakyat ada Festival Ramadan di Tapak Pesta Sungai Nibong.
“Festival ini perlukan publisiti daripada penganjur, para peniaga dan media agar boleh sampaikan maklumat lebih meluas,” serunya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gmabar : DARWINA MOHD. DAUD