PULAU TIKUS – Acara kesenian Arts In The Park 2023 kembali lagi pada 4 November ini bertempat di Taman Belia dari jam 3 petang hingga 9 malam.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, penganjuran kali ini adalah hasil kejayaan Arts In The Park yang telah diadakan di Island Glades sejak tahun 2021.
“Kali ini kita sasarkan sambutan yang lebih meriah sebab kita gunakan kawasan yang lebih luas dan tempat (amphitheater, padang dan taman) yang lebih sinonim dengan warga Pulau Pinang untuk beriadah.
“Acara seni ini juga menggunakan konsep santai, berkelah bersama keluarga sambil menikmti karya-karya seni menarik yang diadakan khas kepada orang ramai.
“Antara acara menarik termasuklah wayang kulit, kebun bunyi, mencerap matahari, busking, mengecat beca dan pelbagai acara lain yang menarik untuk seisi keluarga,” ujar Syerleena dalam satu sidang media di Pusat Informasi Taman Belia Majlis Bandaraya Pulau Pinang di sini pagi tadi.
Hadir sama, wakil daripada komuniti Penang Walkabout, Robert Teh; Pengarah Projek Penang Art District, Kenny Ng dan wakil-wakil penganjur terlibat.
Robet Teh pada sidang media sama memberitahu bahawa pihak Penang Walkabout akan mengetengahkan acara mengecat beca untuk kanak-kanak.
“Kita sayangkan warisan Pulau Pinang ini, jadi mereka akan kayuh beca dari Lebuh Armenian hingga ke Taman Belia sebelum dicat semula oleh kanak-kanak di sini,” katanya kepada pemberita.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT