SUNGAI BAKAP – Orang ramai dipelawa memeriahkan Ekspo Kebudayaan Sungai Bakap 2019 pada 16 sehingga 18 Ogos ini bertempat di C’Mart Pearl City, Bandar Tasek Mutiara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya, Dr. Amar Pritpal Abdullah berkata objektif penganjuran ekspo yang julung kali diadakan itu adalah untuk memperkenalkan semula budaya warisan pelbagai kaum yang kian ditinggalkan sesuai dengan tagline ekspo iaitu ‘Dari Desa ke Bandar’.
“Anak-anak muda dapat mengenali kebudayaan tradisional termasuk tradisi perkahwinan pelbagai kaum serta menghormati adat resam masyarakat yang ada di negara ini.
“Ekspo ini bukan sahaja akan mengeratkan silaturahim antara masyarakat tetapi juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya pada sidang media dekat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pagi tadi.
Difahamkan, terdapat pelbagai aktiviti bakal berlangsung seperti persembahan silat mata, konsert dari artis terkenal tanah air, pameran kereta,permainan tradisional dan lebih 50 gerai jualan akan dibuka kepada pengunjung.
Selain Pusat Warisan Pulau Pinang, turut mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan adalah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan banyak lagi.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN