Jom meriahkan Hari Keluarga Macam Yes! 18 Jun

Admin

BERAPIT – Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan Hari Keluarga Macam Yes! yang akan berlangsung pada 18 Jun 2023 (Ahad) di Dewan St. Anne, Bukit Mertajam.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata, program yang bakal bermula jam 8.00 pagi sehingga 1.00 petang itu menyajikan pelbagai aktiviti kekeluargaan.

 

“Dalam era digital ini, kanak-kanak khasnya banyak bergantung kepada telefon pintar dan peranti elektronik yang sebenarnya memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.

 

Maka, matlamat penganjuran Hari Keluarga ini adalah untuk menggalakkan ibu bapa dan anak-anak menyertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama sekali gus mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

 

“Terdapat lebih 20 permainan untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran pakaian seragam, aktiviti kraftangan, jualan makanan dan banyak lagi.

 

“Saya pasti hari tersebut adalah hari untuk seisi keluarga bergembira dan membuatkan orang tersayang tersenyum riang,” ujarnya pada sidang media di sini pagi ini.

 

Difahamkan, Hari Keluarga Macam Yes! dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Berapit dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Tenang.

 

Menurut Lee Lee, selain aktiviti kekeluargaan terdapat juga acara yang dinanti-nantikan iaitu pameran belon udara panas dan cabutan bertuah.

 

“Belon udara panas ini akan dinaikkan sehingga 50 kaki di udara dan orang ramai boleh menikmati panorama serta merakamkan detik-detik indah.

 

“Memandangkan bilangan penumpang adalah terhad, maka tiada penjualan tiket diadakan, walau bagaimanapun, pengunjung masih boleh melihat belon udara panas dari dekat,” katanya.

 

Tambahnya lagi, mereka yang ingin melihat belon udara panas dari dekat boleh hadir seawal jam 7.00 pagi hingga 10.00 pagi pada 17 Jun 2023 (Sabtu) di Dewan St. Anne dan juga pada hari penganjuran Hari Keluarga Macam Yes!, 18 Jun 2023.

 

Tempat letak kereta disediakan di belakang Gereja St. Anne dan terhad kepada 200 buah kenderaan sahaja.

 

“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan dari Hotel Summit secara percuma berumla dari 7.00 pagi hingga 1.00 petang pda 18 Jun nanti yang mana perkhidmatan setiap 30 minit,” jelasnya.