GEORGE TOWN – Sempena Perayaan Hari Warisan Sedunia George Town pada 7 Julai, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai mempelawa orang ramai hadir memeriahkan acara yang akan disambut di sekitar kawasan enklaf warisan.
Menurut beliau, selain acara kebudayaan, tidak ketinggalan adalah persembahan interaktif dan bengkel kebudayaan itu sendiri.
“Sambutan Utama Warisan George Town 2024 ini akan berlangsung pada Ahad ini bermula jam 5.30 petang hingga 10 malam.
“Kami menjangkakan penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa dapat turut serta memeriahkan sambutan itu.
“Terdapat banyak bengkel dan persembahan kebudayaan untuk orang ramai memahami nilai budaya George Town.
“Kami bersedia untuk meraikan majlis yang dipenuhi dengan pelbagai persembahan yang meriah,” katanya pada sidang media di Komtar, dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Festival, Chin Teo; Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Warisan Budaya George Town (GTWHI), Ng Boon Nee; dan Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi dan Kolaborasi GTWHI, Quah Swee Leang.
Acara utama yang akan dianjurkan adalah Festival Kraf Pulau Pinang 2024, Hari Terbuka Meng Eng Soo 2024, A Day at the Fort sempena Hari Warisan Dunia George Town, Festival George Town, Penang Hill Festival 2024, Bon Odori Pop-Up Fest dan Penang Bon Odori 2024.
Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI