PINANG TUNGGAL – Karnival Raya Aidilfitri 2022 yang bermula pada 7 hingga 12 Mei ini di Pusat Eko Pelancongan Seberang Perai Utara (SPU) akan diadakan secara serentak dengan penganjuran ekspo kerjaya di sini.
Mengumumkan perkara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng menyasarkan pengunjung harian seramai 1,000 orang.
“Pada sebelah siang (7 hingga 10 Mei, mulai 10:00 pagi hingga 5:00 petang) sebanyak 25 syarikat akan mengadakan sesi temu duga kerjaya secara bersemuka bagi mengisi kira-kira 1,500 peluang pekerjaan.
“(Manakala) Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dijadualkan menyempurnakan acara perasmian Malam Eko Pelancongan pada 7 Mei 2022),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Di samping itu, Lip Chee berharap golongan belia terutama di kawasan luar bandar supaya hadir dan merebut peluang untuk menyertai sesi temu duga kerjaya tersebut nanti.
Sebelum itu, Hock Peng menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow serta Exco Belia dan Sukan kerana banyak memberi sokongan dalam merealisasikan Pusat Eko Pelancongan SPU selama ini.
Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling turut menyertai sidang media promosi tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : G. REVATIC