Jom meriahkan pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri, 12 Oktober ini

Admin

BAGAN DALAM – Seluruh warga negeri dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dijalankan bersempena Pelancaran Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Negeri Pulau Pinang, 12 Oktober ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, program anjuran bersama antara Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dengan beberapa agensi kerajaan, pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini dari jam 6.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

“Penyertaan adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum, agama, peringkat umur dan gender termasuk orang kurang upaya (OKU).

“Sasaran penyertaan di Peringkat Negeri adalah seramai 175,020 orang sepanjang bulan Oktober dan bagi peringkat daerah pula adalah seramai 90,000 orang,” jelasnya pada sidang media, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Penolong Pengarah (Sukan) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Zakariya serta wakil-wakil penganjur.

Difahamkan, antara acara yang berlangsung sepanjang hari pelancaran program berlangsung adalah Kayuhan Bulan Sukan Negara sejauh 30 kilometer (km), Larian Bulan Sukan Negara (5km), Senaman Aerobik, Tarik Tali, Klinik Bola Sepak serta Hoki Padang yang mana semua penyertaan adalah secara percuma.

Dalam pada itu, Lip Chee memberitahu bahawa beberapa jalan juga akan ditutup bagi memberi laluan kepada program Fun Ride and Fun Run yang akan dilaksanakan pada hari tersebut.

Jalan-jalan terlibat adalah Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi (mula), Lorong Bagan Luar, Jalan Kampung Gajah, Jalan Kampung Jawa, Jalan Bagan Baru 1, Jalan Kampung Jawa, Jalan Sungai Nyior, Jalan Siram, Jalan Permatang pauh, Jalan Telaga Air, Jalan Jeti Lama, Jalan Pasar, Jalan Dato’ Ahmad Said serta Lorong Bagan Luar 1.

“Justeru, saya menyeru kepada pengguna kereta dan motosikal supaya mengelakkan melalui jalan-jalan ini demi keselamatan peserta,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : TAN ZHI EN