GEORGE TOWN – Penang Charity Food Fair yang bakal diadakan pada 12 Mei 2024 di tempat parkir Taman Bandaraya (Youth Park) adalah bertujuan membantu untuk memelihara dan mengekalkan kawasan mendaki ke Bukit Bendera di Point 84 (P84).
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo memberitahu, program anjuran Pertubuhan Penang Hill dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Cinta Budi Pulau Pinang itu juga bertujuan mencari dana untuk kerja-kerja menaik taraf di P84 serta memberi sumbangan kepada rumah kebajikan terpilih yang memerlukan.
“Lebih daripada 30 reruai akan dibuka dan saya ingin menjemput semua warga Pulau Pinang untuk datang dan memeriahkan suasana,” ujarnya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Ekskutif Emico Holdings Berhad (Emico), Datuk Jimmy Ong Chin Keng; Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Emico, Ng Hong Kiat; Penasihat Emico, Lim Lay Choo dan Lim Beng Huan serta sukarelawan, Catt Oon Na Na.
Dalam pada itu, Chin Keng berterima kasih kepada Jagdeep kerana menyumbang RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
“Pertambahan sumbangan daripada YB Jagdeep membolehkan sumbangan disampaikan kepada 20 rumah kebajikan terpilih di samping membiayai kerja-kerja menaik taraf P84,” katanya.
Program yang diadakan pada hari tersebut juga istimewa apabila diadakan serentak dengan sambutan Hari Ibu.
Difahamkan, selain jualan amal, turut diadakan adalah pemeriksaan kesihatan secara percuma, beberapa pertandingan seperti nyanyian serta cabutan bertuah.
Jom meriahkan Penang Charity Food Fair, temui anda di sana bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang..!
Oleh : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR