KEPALA BATAS – Penduduk Pulau Pinang khasnya di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dijemput memeriahkan pesta kebudayaan, muzik dan makanan tradisional tempatan yang bakal berlangsung dari 9 hingga 12 Ogos ini dekat Pusat Eko Pelancongan SPU, di sini.
Pesta berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri dengan kerjasama Pusat Eko Pelancongan SPU Pulau Pinang dan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Tiong Hua Kepala Batas.
Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata penganjuran pesta itu adalah bertujuan untuk memperkenalkan kebudayaan masyarakat tempatan di samping membantu peniaga-peniaga kecil di sekitar SPU.
“Program ini akan bermula selamat empat hari berturut-turut dari jam 7 malam hingga 11 malam dengan menampilkan prlbagai persembahan kebudayaan daripada beberapa kumpulan seni tempatan yang popular.
“Antaranya adalah persembahan tarian singa, tarian India, kompang, persembahan nyanyian serta banyak lagi yang pasti boleh dinikmati oleh pengunjung secara percuma,” katanya pada sidang media dekat pejabat beliau di sini pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Serantau Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam, Tan Hock Lai; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Permatang Tiga Ringgit, Husin Mat Isa dan Pengerusi MPKK Bumbung Lima, Chang Siew Yang.
Tambah Lay Hock Peng, para pengunjung juga berpeluang menikmati sekurang-kurangnya 50 jenis makanan tradisional tempatan yang dijual oleh peniaga di tapak pesta berkenaan.
“Makanan ini boleh dibeli menggunakan kupon yang dijual dengan harga serendah RM10 yang mana pengunjung juga berpeluang menyertai acara cabutan bertuah melalui setiap pembelian kupon tersebut.
“Acara cabutan bertuah akan dilakukan setiap malam sepanjang program berlangsung dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik berupa barangan perkakasan elektrik,” katanya sambil menambah bahawa pesta tersebut akan dirasmikan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS