Jom meriahkan Roots Fest X Seniloka Art Festival!

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengajak orang ramai memeriahkan Roots Fest X Seniloka Art Festival yang bakal diadakan di Padang Kota Lama pada 25 dan 26 Ogos ini.

Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin berkata acara yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 11:45 malam tersebut akan diserikan dengan pelbagai pengisian program seperti sukan ekstrim, puisi, persembahan kugiran, pameran seni, bengkel seni, cabutan bertuah, pertandingan tarian rap, jualan buku, bicara filem dan pelbagai lagi aktiviti menarik.

Selaku negeri yang kaya dengan seni warisan, atas tanggungjawab sosial,MBPP berusaha bersama-sama beberapa persatuan terlibat cuba menghidupkan kembali seni, budaya tempatan dan aktiviti sosial sihat kepada golongan muda dalam melahirkan generasi celik dan cintakan seni.

Melalui Roots Fest X Seniloka Art Festival ianya secara tidak langsung juga menggalakkan penyertaan anak-anak muda tempatan dalam selok belok menjadi usahawan di samping menikmati festival seni.

Kita juga bawa banyak bakat-bakat tempatan dan ianya dilihat sesuai dengan semua peringkat umur,” ujarnya.

Dianggarkan seramai 7,000 orang akan memeriahkan festival seni tersebut berdasarkan sambutan yang diterima dalam dua edisi sebelum ini di Seberang Perai.

Hadir sama, Hafiz Adnan selaku Pengurus Projek Seniloka 2018.

Ini kali pertama kita adakan di Padang Kota, jadi kita letakkan harapan tinggi di sini kerana pelbagai acara menarik disediakan. Penyertaan bagi acara basikal ektrim BMX juga difahamkan telah mencapai 100 penyertan dan papan selaju (skate board) 50 penyertaan dan mungkin lebih,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Informasi MBPP, Taman Belia baru-baru ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan festival berkaitan, sila hubungi Encik Hafiz di talian 012-6363984.

Teks dan Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI