Jom sertai Kempen Undi 18, soal selidik pindaan umur calon ADUN Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Sesi taklimat bagi Kempen Undi 18 bakal diadakan secara dalam talian melalui platform Zoom pada 12 Disember 2020.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, tujuan taklimat tersebut diadakan adalah bagi memberi pendedahan kepada belia tentang hak mengundi, pindaan umur pengundi serta umur ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Taklimat kali ini bakal melibatkan semua daerah di negeri ini kecuali daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada 3 Oktober 2020 dan 15 Ogos 2019 masing-masing,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pagi ini.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling serta wakil-wakil pertubuhan belia di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 bagi menurunkan had usia pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

“Selepas 10 hari (25 Julai 2019) RUU ini diluluskan pula di Dewan Negara dan dengan kelulusan itu, pilihan raya pada masa depan akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon, selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.

“Tujuan pindaan ini adalah untuk memberi peluang, ruang dan suara kepada anak-anak muda untuk sama-sama berganding bahu mencorakkan demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.

Serentak dengan penganjuran sesi taklimat yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Pulau Pinang, Soal Selidik Pelaksanaan Pindaan Umur Calon ADUN Pulau Pinang turut diadakan mulai 7 Disember lalu.

“Tujuan soal selidik ini adalah untuk mengumpulkan pandangan sama ada setuju atau tidak pelaksanaan pindaan umur calon ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun di Pulau Pinang.

“Hasil kaji selidik ini akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada April 2021 nanti dan setakat ini 60 persatuan belia seluruh Pulau Pinang serta agensi berkaitan bersetuju untuk mempromosikan soal selidik ini,” katanya.

Pautan soal selidik boleh didapati melalui Facebook Page https://forms.gle/VwjquEQR9ZaWJUJy9.

Manakala, yang berminat menyertai Sesi Taklimat Kempen Undi 18 sila layari https://forms.gle/3qZHU3fcLxXcp3td6 atau imbas kod QR yang tertera di poster promosi.

Jom sertai!

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN