GEORGE TOWN – Dalam usaha merealisasikan Visi Penang2030 ke arah sebuah negeri hijau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa orang ramai untuk sentiasa membawa produk mesra alam bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, berdasarkan data sehingga Disember 2021, 74 peratus sisa plastik dan 40 peratus sisa kertas adalah daripada perkhidmatan penghantaran makanan yang mana masing-masing menjadi penyumbang kedua dan ketiga sisa pepejal yang dikutip setiap hari.
Sisa plastik menjadi penyumbang kedua tertinggi bagi sisa pepejal yang dikutip iaitu 15.4 peratus selepas sisa makanan, manakala sisa kertas di tangga ketiga (9.9 peratus).
“Maka, MBPP menggesa orang ramai supaya membawa bekas makanan dan beg kitar semula sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan pembungkus makanan kertas,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus Mesyuarat Majlis Biasa Bilangan 2/2022 di sini pada 25 Februari 2022.
Terdahulu, Ahli Majlis Tan Hooi Peng memaklumkan bahawa bagi merealisasikan visi Kerajaan Negeri, pihaknya menganjurkan Kempen Bring Your Own (BYO) bermula hari ini (25 Februari) sehingga 31 Mac 2022.
Inisiatif ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri ke arah menjadi negeri hijau sekali gus mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“Penggunaan plastik sekali guna seperti bekas makanan, penyedut dan bekas minuman meningkat berikutan pandemik COVID-19 dan telah menjadi punca pencemaran alam sekitar.
“Oleh itu, jom sertai cabaran Kempen BYO, 10 pemenang bertuah akan menerima hadiah misteri daripada MBPP,” katanya.
Bagi yang berminat menyertai cabaran ini, anda hanya perlu memuat naik foto atau video kreatif anda menggunakan produk mesra alam di laman media sosial masing-masing seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya dengan tanda pagar #byopenang dan #mbppbyochallenge.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : MBPP