Jom sertai program ‘VOICES’ 2019, 11 – 12 Oktober ini!

SERI DELIMA – Orang ramai khususnya golongan wanita dialu-alukan menyertai bengkel penulisan ‘VOICES’ 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini dekat ‘Penang Math Platform’ (PMP).

Bengkel tersebut dianjurkan oleh Pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima bersama-sama ‘George Town Literary Festival’ (GTLF) dan turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, golongan wanita amat digalakkan menyertai bengkel tersebut kerana mereka berpeluang mengekspresikan diri masing-masing.

“Seperti yang kita dapat lihat, sekarang pelbagai cabaran yang harus dilalui oleh golongan wanita.

“Oleh itu, melalui bengkel ini para wanita dapat berkongsi luahan rasa berdasarkan apa yang dilalui oleh mereka selaras dengan tema acara pada tahun ini iaitu ‘Changes’,” katanya semasa sidang media dekat PMP, pagi ini.

Hadir sama, Penyelaras GTLF, Swarna Rajagopal dan Pengurus Besar PMP, Johnny Ong.

Mengulas lanjut, Syerleena memaklumkan bahawa pemenang bagi penulisan terbaik akan dijemput menyampaikan ‘final reading’ di pentas utama GTLF selain hasil penulisan mereka dijilidkan di dalam sebuah buku.

“Sasaran bagi bengkel penulisan ini adalah seramai 20 orang wanita. Oleh itu, marilah sama-sama menyertai bengkel penulisan ini,” serunya lagi.

Tambah beliau, pemilihan PMP sebagai lokasi penganjuran program pula bertujuan menggalakkan pembangunan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) kepada orang ramai.

Bagi yang berminat untuk menyertai bengkel penulisan ini, boleh kirimkan kepada Pengurus Bengkel ‘VOICES’, Rubi Mahes di alamat e-mel iaitu [email protected].

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD