Jom sertai program ‘World Clean Up Day’ 2019, 21 September ini!

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai dialu-alukan menyertai program ‘World Clean Up Day’ (WCUD) 2019 yang dijadualkan berlangsung pada pada 21 September ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata program tersebut adalah selaras dengan visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bersih, sihat, hijau dan selamat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana penganjuran program sebegini menjadi ikutan kepada negeri-negeri lain juga.

“Program ini bukan sahaja membentuk persekitaran yang bersih malah sampah-sampah yang dikutip akan diserahkan kepada Pusat Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (CEMACS) untuk dianalisis,” katanya pada sidang media dekat Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah CEMACS, Prof. Dr. Aileen Tan Shau Hwai; Wakil Cosmopolitan Homes Sdn. Bhd., Bon Tan; Pengurus Besar Penang Green Council, Josephine Tan Mei Ling dan Wakil Junior Chamber International (JCI) Malaysia, Catherine Chang.

Turut serta, Pengurus Kanan Syarikat Dell, Danneil Teoh; Penyelaras Program Penggerak Komuniti Muda (PEKA) Por Chen Him dan wakil Tzi Chi Penang, Siow Eik Kwang.

Sementara itu, Aileen berkata bahawa data yang dikumpul akan dihantar kepada pangkalan data antarabangsa yang dihoskan oleh ‘Ocean Conservancy’.

“Usaha ini bukan semata-mata untuk mengutip sampah tetapi juga langkah untuk mengumpul data supaya dapat memberikan maklumat lengkap kepada Kerajaan Negeri atau Kerajaaan Persekutuan bagi menggubal polisi berkaitan dengan kempen Alam Sekitar seperti kempen “Katakan Tidak Pada Beg Plastik”.

“Selain mengutip dan pemulihan sampah, pelbagai aktiviti akan dijalankan pada hari tersebut seperti pameran yang memberi pendidikan mengenai pencemaran plastik di lautan, cara pemulihan sisa dan kesedaran alam sekitar,” ujarnya.

Difahamkan, program selama dua jam setengah bermula 7:30 pagi hingga 10.00 pagi itu melibatkan jarak sejauh 4.5 kilometer bermula dari Quensbay Mall hingga ke FCN Northern C-P Bayan Lepas.

Bagi yang berminat untuk menyertai program boleh hubungi Pejabat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar (04-2620860) atau Dr. Annette Jaya Ram (016-451747) atau Dr. Abe Woo (011-51409300).

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN