GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan semua rakyat di negeri ini untuk menyertai soal selidik Indeks Sukan Pulau Pinang bagi membolehkan Pelan Induk Sukan Pulau Pinang dirangka.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, soal selidik tersebut telah dimulakan sejak 1 Januari 2021 sehingga 28 Februari lalu, namun penerimaan respons kurang memuaskan apabila hanya 1,287 responden sahaja yang mengambil bahagian.
Kerajaan Negeri memerlukan pandangan daripada semua rakyat Pulau Pinang dalam memastikan hala tuju dan pembangunan sukan yang lebih spesifik.
“(Oleh yang demikian), Kerajaan Negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa soal selidik Indeks Sukan Pulau Pinang sehingga 15 April 2021,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar tengah hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, yang mana kedua-duanya merupakan Ahli Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Mohamed Akbar Mustapha serta wakil daripada Penang Institute.
Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa objektif soal selidik Indeks Sukan Pulau Pinang adalah untuk mengumpul data berkaitan pengalaman umum menggunakan fasiliti sukan sedia ada; kegemaran aktiviti sukan bagi setiap golongan masyarakat; kekerapan melakukan aktiviti sukan dan riadah; kemudahan sukan yang diperlukan serta kemudahan sukan yang perlu dinaik taraf akibat uzur atau rosak.
Hasil kajian ini membolehkan Pelan Induk Sukan Pulau Pinang dirangka sewajarnya dan sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai kuasa sukan atau ‘sports powerhouse‘.
“Selain itu, saya juga berharap agar setiap ADUN dan Ahli Parlimen mengambil inisiatif dan memberikan kerjasama dalam menyebar luas soal selidik ini demi pembangunan sukan di negeri kita,” katanya yangmensasarkan lebih ramai penyertaan terutama dalam kalangan belia dan penggemar sukan.
Difahamkan, soal selidik Indeks Sukan Pulau Pinang boleh diakses melalui laman Facebook Sports For All Penang (juga melalui laman web); Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang; Penang Institute (juga melalui laman web dan Twitter); Facebook Soon Lip Chee serta Facebook ADUN dan Ahli Parlimen masing-masing. Malah, orang ramai juga boleh mengimbas kod QR di poster promosi soal selidik Indeks Sukan Pulau Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS