Jom sertai The Colourful Run, bantu kumpul dana PDA

DATUK KERAMAT – Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengajak orang ramai untuk menyertai The Colourful Run 6.0 yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2023 ini.

 

 

Penolong Pengarah (Acara) Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP, Khairol Izwan Salamat berkata, penganjuran acara tahunan kali keenam itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi mengisi tabung PDA.

 

 

“Acara ini adalah kesinambungan kejayaan penganjuran The Colourful Run kali pertama yang telah diadakan pada 25 September 2016 bertempat di Pasar Raya 1st Avenue Mall.

 

 

“Kali ini kita mensasarkan kira-kira 1,000 orang peserta yang terdiri daripada warga pekak, pelajar Sekolah Pendidikan Khas, orang awam dan rakan-rakan korporat,” ujarnya dalam satu sidang media dekat Stadium Bandaraya di sini tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Pengerusi PDA, Sideek Shahul Hamid dan wakil-wakil penaja daripada Flex, Starbucks, Maestro Swiss (Vico), Howei, Hey Jom serta Uspin.

 

Dalam pada itu, Sideek ketika ditemui memaklumkan bahawa penganjuran The Colourful Run 6.0 akan melalui jalan-jalan utama sekitar George Town bermula dan tamat di 1st Avenue sejauh lima kilometer.

 

 

 

“The Colourful Run 6.0 adalah satu simbolik untuk orang kurang upaya (OKU) pendengaran melihat dunia penuh warna-warni walaupun mengalami kekurangan.

 

 

 

“Peserta yang berjaya menamatkan larian berpeluang mendapat medal dan kepada yang masih berminat untuk menyertai larian ini bolehlah mendaftar secara dalam talian di howei.com atau Hey Jom sebelum tarikh tutup pada 16 September ini,” katanya.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi PDA di talian 04-226 0160, 017-202 0061 atau layari laman sesawang www.pda.org.my.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : M. VEKENESVARAN