Jom sertai Trash Free Hill, lindung biodiversiti Bukit Bendera

Admin

AIR ITAM – Para penggemar aktiviti mendaki dipelawa untuk menyertai program Trash Free Hill (TFH) 2023 untuk edisi keempat pada 24 September ini.

 

 

Menurut Exco Alam Sekita dan Kebajikan, Phee Boon Poh, TFH merupakan aktiviti tahunan anjuran Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) bertujuan meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pemeliharaan Bukit Bendera sekaligus melindungi biodiversitinya.

 

 

 

“Pada tahun 2018, seramai 550 orang sukarelawan bergabung tenaga membersihkan sehingga 500 kilogram (kg) sampah sarap apabila TFH mula dilancarkan.

 

 

 

“Pada tahun berikutnya, seramai 726 orang sukarelawan berjaya membersihkan lebih 480 kg manakala tahun 2022, 736 orang sukarelawan memungut 436.4 kg.

 

 

 

“Sukarelawan yang menyertai TFH sebenarnya dapat menyumbang kepada pemeliharaan Bukit Bendera dan memastikan persekitaran yang bersih dan mengekalkan status sebagai Rizab Biosfera UNESCO untuk generasi akan datang,” ujar Boon Poh dalam satu sidang media di Bukit Bendera kelmarin.

 

 

 

Turut hadir, Pengurus Besar PBBPP, Dato’ Cheok Lay Leng; Pegawai Kanan Penang Green Council (PGC); Carmen Wong; Penyelaras Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Wafi Sahedan; dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bendera, A. Sathivel.

 

 

 

Tambah Boon Poh lagi, TFH kali ini akan berlangsung bermula jam 6:30 pagi hingga 12 tengah hari di tujuh laluan sekitar Bukit Bendera, bermula Pintu Masuk A & B Moongate, Taman Botani, Jalan Jip, Laluan Warisan/Stesen Bawah, Ladang Hye Keat dan Jalan Air Itam dan semua akan bertemu semula di Dataran Bukit Bendera.

 

 

 

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dilakukan melalui laman sesawang www.penanghill.gov.my/tfh sebelum 14 Ogos 2023.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD