Jom sertai World Bicycle Day 2022 Challenge, 3 – 5 Jun

Admin

GEORGE TOWN – Sempena Sambutan Hari Basikal Sedunia (World Bicycle Day) yang bakal diraikan pada 3 Jun 2022, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa semua peminat basikal sama ada secara santai mahupun sebagai mod pengangkutan harian untuk menyertai World Bicycle Day 2022 Challenge.

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, penganjuran World Bicycle Day 2022 Challenge adalah sebahagian daripada usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang lestari dan mesra basikal.

 

“Aktiviti berbasikal bukan sahaja memupuk amalan gaya hidup sihat tetapi yang paling penting adalah Hari Basikal Dunia ini sejajar dengan hala tuju dan komitmen hijau MBPP dalam menggalakkan penggunaan mod pengangkutan tanpa motor serta bebas karbon,” ujarnya pada sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 5 Tahun 2022 menerusi platform Zoom pada 30 Mei 2022.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. A. Rajendran; barisan Ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

 

Menurut Tung Seang, sambutan Hari Basikal Sedunia yang diraikan pada 3 Jun ini cukup istimewa kerana jatuh pada hari sama Bike on Friday (BoF) yang ke-333.

 

“Maka satu kayuhan sempena Hari Basikal Sedunia akan diadakan, yang mana ahli-ahli BoF akan mula berkayuh sama ada di Spiral Bridge atau di Starbucks Tanjung Tokong menuju ke Dewan Bandaraya di sini.

 

“Selain itu, MBPP juga mengadakan World Bicycle Day 2022 Challenge bermula dari 3 hingga 5 Jun ini yang mana mereka yang berbasikal boleh memuat naik gambar menarik dan kreatif atau video berdurasi 15 hingga 20 saat ke laman sosial masing-masing.

 

“Setiap gambar dan video yang dimuat naik perlu disertakan dengan tanda pagar #CyclingPenang dan #MBPP_worldbicycleday sebelum jam 10:00 malam pada 5 Jun 2022 ini,” jelasnya sambil menyeru semua penggemar aktiviti berbasikal untuk menyertai cabaran ini.

 

Sebanyak 30 hadiah menjadi rebutan termasuk dua unit basikal ‘Mountain Bike’ dan tiga unit ‘foldie bike’. Para pemenang akan diumumkan menerusi laman rasmi Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

 

Sebagai rekod, pada 2018 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 3 Jun setiap tahun sebagai Hari Basikal Sedunia bertujuan mempromosikan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan hijau dan memperingati basikal sebagai alat pengangkutan utama yang digunakan di seluruh dunia sejak berabad lamanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP