BUKIT TENGAH – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi mengenal pasti punca pencemaran Sungai Juru yang semakin serius kini.
Pengarah JPS Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee berkata melalui IRBM, pihaknya turut menggariskan beberapa pelan tindakan bagi mengatasi masalah di kawasan Lembangan Sungai Juru.
“Antara objektif pelaksanaan pelan IRBM ini adalah untuk memastikan air mencukupi, bersih, mengurangkan risiko banjir serta pemuliharaan alam sekitar.
“Proses implementasi komponen-komponen kerja yang telah digariskan dalam IRBM akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing.
“Justeru, pengurusan lembangan sungai hendaklah ditangani secara bersepadu di mana setiap agensi teknikal termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah bersama-sama berganding bahu menangani isu kebersihan sungai bagi merealisasikan kehijauan saliran sungai,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi sebentar tadi.
Soon Lee berkata, JPS juga melaksanakan pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang bagi memelihara alam sekitar di Sungai Juru.
Berikut adalah pelan terbabit;
“Melalui kerja-kerja penyelenggaraan berkala yang telah dilaksanakan, jumlah kutipan sampah di Sungai Juru pada tahun 2023 adalah sebanyak 85 tan setahun tetapi telah menurun sebanyak 4 tan kepada 81 tan pada tahun 2024,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pencemaran sungai lazimnya terbahagi kepada dua iaitu daripada punca tetap dan tidak tetap.
“Pencemaran punca tetap berlaku akibat daripada premis makanan, industri kecil, bengkel kenderaan dan pelepasan sisa kumbahan dan sisa domestik dari penempatan tradisional.
“Sementara pencemaran daripada punca tidak tetap pula adalah melibatkan air larian hujan (surface run off) yang membawa pencemar ke sungai.
“Parameter dominan yang telah dikenal pasti mencemarkan kebanyakan sungai-sungai di Pulau Pinang adalah disumbangkan oleh parameter Ammoniacal Nitrogen,” ujarnya.
Dalam pada itu, tinjauan oleh pasukan Buletin Mutiara di Lembangan Sungai Juru hari ini mendapati sampah-sarap yang mencemari Sungai Juru sejak beberapa hari lalu telah mula dibersihkan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR