JPS main peranan pastikan isu kemarau tidak jejas hasil padi

SETIAP kali tibanya musim kemarau, kegusaran pasti akan dirasai oleh kebanyakan golongan petani terutamanya pesawah yang menjadi nadi kepada pengeluaran makanan ruji rakyat Malaysia iaitu beras.

 

 

Dalam hal ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang merupakan agensi kerajaan terpenting yang perlu memainkan peranan bagi memastikan penghasilan padi di negeri ini terus berada pada tahap terbaik.

 

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar SITI NURATIKAH RAHMAT pagi tadi sempat menemu bual Penolong Pengarah Kanan JPS Pulau Pinang, Mohd. Fadhil Ahmad untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai keadaan tersebut.

 

SETIAUSAHA Akhbar Kepada Ketua Menteri dan Pengarah Komunikasi, Yap Lee Ying, menyampaikan cenderahati kepada Mohd. Nazri Yasmin dalam sesi penerangan yang berlangsung semalam.

Turu hadir semasa sesi wawancara khas itu ialah Pengarah JPS Pulau Pinang, Ir. Mohd. Nazri Yasmin dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi), Mohd. Nazaruddin Ghazali.

 

MOHD. Fadhil Ahmad.

Memulakan bicara, Mohd. Fadhil berkata bahawa di Pulau Pinang terdapat empat daripada lima daerah terlibat dengan aktiviti tanaman padi kecuali daerah Timur Laut.

 

 

Katanya, ini bermakna keluasan tanaman padi di seluruh negeri ini adalah 12,105 hektar yang diusahakan oleh 5,312 orang pesawah.

 

 

“Peranan utama JPS adalah untuk memastikan kawasan penanaman padi ini terdapat air masuk (untuk proses tanaman) dan air keluar selepas padi dituai.

 

 

“Proses penting ini dimainkan oleh rumah-rumah pam yang berfungsi memastikan aliran masuk air adalah mencukupi melalui sumber-sumber sungai utama sama ada dari dalam dan yang berhampiran negeri Pulau Pinang.

 

 

“Rumah Pam Bumbung 5 memainkan peranan terpenting untuk menyalurkan air ke rumah pam kedua bagi mudahkan aliran air mengikut jadual sehingga dapat dibekalkan ke petak-petak sawah padi,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.

 

 

Dalam memastikan pengagihan sempurna tanpa menjejaskan hasil ketika musim panas, Mohd. Fadhil berkata satu mesyuarat jawatankuasa melibatkan agensi-agensi berkepentingan lain bersama Pegawai Daerah diadakan setiap enam bulan sekali.

 

 

“Mesyuarat ini dipengerusikan oleh IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang).

 

 

“Dalam mempertingkatkan keberkesanan agihan air ke kawasan penanaman padi, sebanyak 43 pam  15 unit pam mudah alih disediakan oleh JPS Pulau Pinang untuk berdepan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku masalah kekurangan air.

 

 

“Namun paling penting bagi pesawah adalah untuk mengikuti program pengukuhan Kumpulan Pengguna Air (KPA) dan pesawah perlu lebih tahu tentang ini agar penanaman dan pengairan dilaksanakan sejajar dengan masa tanaman.

 

 

“Seperti diketahui, tahun 2014 adalah musim kemarau yang paling teruk melanda dan menjejaskan hasil tanaman padi ketika itu, perkara tersebut membuatkan kita belajar untuk kukuhkan KPA bagi mengelakkan masalah sama berulang,” jelas Mohd. Fadhil lagi.

 

 

Difahamkan, antara sungai yang menjadi sumber utama skim pengairan padi negeri ini adalah Sungai Muda, Sungaj Pinang Tunggal, Sungai Kulim, Sungai Burung, Sungai Jarak dan Sungai Acheh.

 

 

Selain JPS, Jabatan Meteorologi turut memainkan peranan penting dalam meramalkan keadaan cuaca.

 

 

Ramalan ini membolehkan persediaan awal dilakukan oleh agensi-agensi bertanggungjawab dalam mengelakkan permasalahan timbul lantas menjejaskan hasil pertanian melibatkan padi.

 

MOHD. Nazri Yasmin.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri dalam sesi penerangan memberitahu bahawa pengurusan pengairan jelapang padi Pulau Pinang menjadi antara tumpuan utama dalam memastikan penghasilan tanaman tersebut antara yang terbaik di negara melalui kiraan per hektar.

 

 

“Pulau Pinang antara nombor satu dan dua dalam penghasilan padi di Malaysia, baru-baru ini nombor satu, maknanya setiap hektar keberhasilan padi itu jadi paling banyak.

 

 

“Bercakap mengenai pengurusan air dan kemarau, melalui pemerhatian JPS juga peningkatan hasil ini berlaku di kawasan yang sedikit terkesan oleh kemarau yang berlaku.

 

 

“Dari segi teknikal mungkin kita bersama pihak-pihak berkepentingan boleh kaji juga bagi menjamin hasil yang optimum.

 

 

“Namun secara keseluruhannya, boleh saya katakan Pulau Pinang sebenarnya kurang bermasalah dalam hal ini,” katanya.