GEORGE TOWN – Seramai 25 kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang hari ini berlepas ke Kelantan dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dekat Lobi Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), sebentar tadi.
Pengarah JSP Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim semasa ditemui berkata, selain menyampaikan bantuan, misi tersebut juga bertujuan memberi pendedahan kepada pasukan sukarelawan terlibat berkaitan cara pengurusan banjir besar dan persediaan dilakukan JPS Kelantan bagi menghadapi musim angin monsun.
“Misi kita adalah untuk menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir di sana.
“Selain itu, kita juga akan adakan kerjasama dengan JPS Kelantan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir besar dan mendapatkan penerangan berkaitan usaha mereka dalam mengatasi permasalahan tersebut,” ujarnya ringkas.
Difahamkan, kira-kira 13,857 penduduk Kelantan terjejas banjir ekoran hujan lebat berterusan beberapa hari sejak 26 November lalu.
Kesemua mereka membabitkan 5,108 keluarga yang ditempatkan di 61 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, machang dan Kuala Krai.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING