GEORGE TOWN – Program ‘JPWK Family Day’ anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Seri Delima dan JPWK Air Putih disifatkan sebagai acara paling berjaya dianjurkan jawatankuasa berkenaan setakat ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, program tersebut bukan sahaja dihadiri oleh golongan wanita malah turut disertai golongan bapa yang menjadi tulang belakang dalam sesebuah keluarga.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyedari bahawa pentingnya sesebuah keluarga yang sihat dalam memacu pembangunan, kemakmuran dan kestabilan negeri dan juga negara.
“Keluarga yang sihat dengan asas dan nilai yang baik akan memberikan impak positif kepada pembangunan negara dan begitu juga sebaliknya.
“Justeru, penganjuran program hari ini (JPWK Family Day) dianjurkan khusus untuk memenuhi keperluan ibu bapa dan anak-anak sekaligus dapat mengukuhkan lagi hubungan antara keluarga,” katanya semasa merasmikan program berkenaan dekat ruang legar Udini Squre, di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul rashid; Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh; Presiden JPWK Air Putih, Vanessa Cheng; Presiden JPWK Seri Delima Kristine Leong serta wakil-wakil penaja.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk ibu pada dan anak-anak seperti permainan, kuiz, persembahan tarian kanak-kanak dan banyak lagi.
Sementara itu, Syerleena yang turut berucap sebelum itu berkata bahawa program tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030 diperkenalkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berfokuskan kekeluargaan dalam negeri hijau dan pintar.
“Hal ini kerana, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak membesar dalam ikatan kekeluargaan yang kukuh lebih cemerlang dalam bidang akademik, kurang masalah disiplin serta lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah selain kurang tertekan.
“Oleh itu, sekiranya ibu bapa tidak mampu meluangkan masa bersama anak-anak sepanjang masa, maka waktu terluang bersama mereka haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG