PENURUNAN hasil jualan sempena musim durian Balik Pulau jelas dirasai dalam kalangan pengusaha perniagaan itu.
Rata-rata responden memberitahu Buletin Mutiara bahawa keadaan tersebut ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) dan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
Pemilik Durian Cap Tupai dekat Relau, CHEW CHEE WAN, 53, hasil jualannya merosot teruk hingga 50 peratus.
“Sekarang orang tak boleh rentas daerah, rentas negeri, jadi jualan jatuh paing teruk tahun ini berbanding tahun-tahun lepas.
“Untuk mengatasi perkara tersebut, saya ada juga buat jualan dalam talian.
“Tahun ini juga hasil (dusun) agak tinggi akibat daripada cuaca yang elok, jadi ia beri pengaruh kepada jumlah buah, tetapi sukar untuk jual,” ujarnya yang mempunyai kebun di Sungai Ara.
Susulan itu, beliau turut memajak beberapa lagi kebun durian lain.
Di samping itu, bagi mengatasi lambakan buah tersebut, Chee Wan berkata pihaknya turut menjual durian tersebut kepada usahawan yang menjalankan perniagaan ais krim, kek dan makanan-makanan berasaskan durian.
“Keistimewaan Durian Cap Tupai adalah durian jenis Tupai King yang dikatakan mempunyai nilai pasaran paling tinggi di pasaran berbanding duri hitam dan musang king.
Sementara itu, peniaga durian 88 Lagacy dekat Sungai Batu, SHAMSURI MARZUKI, 25, turut mengeluh mengenai cabaran menjual durian pada musim kali ini.
“Namun, bisnes agak perlahan, diakui sebab ‘orang luar’ tidak boleh masuk jadi jualan tahun ini memang sangat perlahan.
“Kami sudah buka perniagaan di sini kira-kira empat tahun dan tahun ini paling teruk.
“Bagi mengatasi lambakan buah tidak terjual dijual kepada kilang-kilang yang buat makanan berasaskan durian, jual isi sahaja,” katanya lagi.
Ditanya mengenai jualan dalam talian, beliau memberitahu bahawa 88 Legacy setakat ini tidak melaksanakannya.
Nada yang hampir sama turut dikongsi oleh pemilik perniagaan Durian Cap Kaki, TAN CHEE WEI, 38.
“Sebelum tahun lepas, kami di sini turut menerima kunjungan dari pelancong dari China, Indonesia, Singapura dan pelancong luar Pulau Pinang.
“Tahun ini lebih terasa, cuma awal musim sahaja nampak ramai sekarang sudah kurang pelanggan, stok buah pun kurang sebab musim hujan,” jelasnya yang sudah menjalankan perniagaan lebih 30 tahun legasi ayahnya.
Mengenai jualan dalam talian, Chee Wei turut berbuat demikian untuk menangani kemerosotan jualan secara terus dari premisnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD