Jual durian online diharap lebih rancak tahun ini – Kon Yeow

TELUK BAHANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pemasaran ‘Raja Buah’ bakal menjadi lebih rancak menerusi platform dalam talian (online).

Ini adalah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 yang turut menguatkuasakan larangan penjualan durian di bahu jalan seperti kelaziman termasuk makan di dusun-dusun.

“Penjualan durian secara online sebenarnya sudah dimulakan sebelum ini di dusun-dusun Balik Pulau khususnya, dan diharap tahun ini pendekatan berkaitan dapat dirancakkan lagi.

“Memandangkan tahun ini musim durian jatuh pada tempoh pelaksanaan PKP, maka platform online ini akan menjadi pilihan yang mana pengusaha perlu menerima pesanan online, runding harga dan setelah setuju, maka cash on delivery (COD) kepada pelanggan.

“Serentak itu, sebagai inisiatif khas, golongan petani dan pekebun boleh  memohon kad khas daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tujuan ‘pelepasan’ sekatan jalan raya bagi tujuan penghantaran,” ujarnya kepada Buletin Mutiara pada lawatan khas ke sebuah kebun durian, Wong Durian House di Sungai Pinang dekat sini baru-baru ini.

Objektif lawatan tersebut adalah bagi mendapatkan maklum balas mengenai hasil dan pemasaran durian apabila negara dilanda COVID-19 serta dalam tempoh PKP.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Tambah Kon Yeow, berniaga dalam tempoh PKP, setiap pekebun juga perlu mencari ikhtiar untuk menangani kekangan PKP .

“Saya percaya online mungkin boleh rancakkan lagi penjualan kerana pembeli pun tidak perlu pandu kereta dari kawasan Tanjong ke Balik Pulau, sebaliknya pengusaha atau pekerja perlu hantar sampai ke rumah.

“Jadi, pendekatan ini pun membuka peluang perniagaan yang baharu,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Terdahulu, MBPP turut mengumumkan kemudahan 254 premis di pasar awam seluruh pulau yang boleh disewa oleh pemilik dusun  daripada pihak majlis.

Dalam pada itu, pemilik dusun Wong Durian House, James Wong ketika ditemu ramah menyatakan bahawa hasil durian pada tahun ini adalah amat memuaskan memandangkan keadaan cuaca yang panas dari awal tahun.

“Cuma sekarang kita cari pasaran, sebab sekarang ada COVID-19 pelanggan tidak boleh datang, jadi kita perlu buat online… terima pesanan dan hantar kepada pelanggan.

“Inilah cara petani sekarang buat pasaran. Pelanggan tempatan ada yang datang ke kebun, kita boleh jual tetapi tidak boleh lagi makan di sini.

“Saya sendiri gunakan Facebook iaitu ‘Wong Durian House’, saya kena kemas kini memandangkan hasil tuaian adalah amat memuaskan cuma perlu pandai sesuaikan dengan aspek pasaran,” ulasnya.

Ditanya mengenai pertembungan musim durian dengan bulan puasa, James mengakui bahawa jualan durian akan sedikit-sebanyak terkesan.

“Permintaan (di bulan puasa) sedikit menurun, memang ada pelanggan yang beli, tetapi dengan harga yang lebih murah,” katanya.

Berasaskan itu, James turut menjangkakan perniagaan durian boleh merosot sehingga 40 peratus pada tahun ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : CHAN KOK KUAN