PULAU BETONG – Sungguhpun kuantiti durian di kebun milik Lim Kheng Seng mencatatkan lebih 10 peratus berbanding tahun lalu, namun jualannya didapati merosot sehingga 20 peratus pada tahun ini ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.
Perkara tersebut dimaklumkan Kheng Seng ketika menerima lawatan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ke kebunnya di sini.
Menurut beliau, tidak dinafikan bahawa semua pihak menerima kesan daripada COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
“Bagi tahun ini, kami menyediakan jualan dalam talian dan khidmat penghantaran kepada pelanggan termasuk jualan kepada pemborong semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun hasil jualan merosot 10 hingga 20 peratus, namun saya memahami situasi ini.
“Pandemik COVID-19 menyebabkan orang ramai tidak boleh makan di sini, jadi ia sedikit-sebanyak menjejaskan jualan,” ujarnya kepada Buletin Mutiara bersempena lawatan khas barisan kepimpinan Kerajaan Negeri berkaitan pagi tadi.
Berkongsi beberapa petua, Kheng Seng menyatakan bahawa waktu terbaik untuk menikmati durian terbaik adalah pada pertengahan bulan Mei hingga Jun.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pegawai Penyelaras Khas bagi kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin.
Dalam pada itu, Norlela memberitahu bahawa pihaknya akan menulis surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai prosedur operasi standard (SOP) makan durian di kawasan kebun.
“Perkara seperti makan durian di kawasan kebun yang tidak digazetkan sebagai dilarang, sepatutnya dibenarkan.
“Kecuali durian di tepi jalan itu memang tidak boleh kerana keadaan yang sempit, tidak mahu orang ramai berkumpul tepi jalan.
“Saya akan dapatkan kepastian daripada pengarah MKN berhubung garis panduan berkaitan agar perkara ini jadi lebih jelas kepada umum,” ulasnya yang juga ADUN Penanti.
Tambah Norlela, pada tempoh PKP baru-baru ini juga, beliau ada berbincang untuk mewujudkan hab durian serta produk beku ‘Raja Buah’ tersebut yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG