KIRA-kira 10 hari lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, rata-rata peniaga yang ditemui di beberapa pasar raya di negeri ini mengeluh kerana jualan mereka masih lagi perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Peniaga pakaian, FARIDATUL ADAWIYAH MOHD. FAUZI, 25, ketika ditemui memberitahu bahawa nilai jualan baju raya pada tahun ini merosot sehingga 60 peratus berbanding tahun lepas.
Katanya, penurunan mendadak itu disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya musim perayaan Hari Raya Aidilfitri jatuh selepas sebulan pembukaan sesi persekolahan baharu selain kemunculan platform e-dagang seperti Tik Tok, Shopee, Lazada dan sebagainya.
“Pada kebiasaannya sebulan sebelum tibanya Aidilfitri, kedai-kedai di sini sudah mula dipenuhi dengan pelanggan terutamanya cuti pada hujung minggu tetapi pada tahun ini kehadiran pelanggan masih lagi perlahan.
“Dalam era perkembangan teknologi yang semakin pantas kini, memang tidak boleh nafikan bahawa kami sukar untuk bersaing dengan platform E-dagang seperti Tik Tok dan Shopee sekali gus memberi kesan kepada perniagaan kami.
“Namun begitu, saya jangkakan pada minggu depan aktiviti jualan dijangka lebih rancak kerana orang ramai sudah mula mendapat gaji serta bantuan khas daripada kerajaan yang mungkin akan menggalakkan mereka untuk berbelanja.
“Setakat ini kami masih boleh bertahan tetapi dari segi keuntungan memang sangat merosot,” katanya ketika ditemui di premis perniagaanya, Exquisite Creations dekat Lotus’s Seberang Jaya sebentar tadi.

Nada yang sama turut disuarakan oleh seorang lagi peniaga, HARYANTI ZAKARIA, 42, yang menjual naju kurung dan baju Melayu dewasa serta kanak-kanak di bawah jenama Busana Noriah.
Menurut Haryanti, kesukaran untuk bersaing dengan peniaga dalam talian seperti Tik Tok dan Shopee menyebabkan jualan baju kurung dan baju Melayu merosot kira-kira 10 peratus pada tahun ini.
“Biasanya menjelang 10 Ramadan, pelanggan sudah mula ramai datang membeli kelengkapan raya mereka terutamanya baju Melayu tetapi pada tahun ini jualan agak perlahan sedikit.
“Mungkin mereka lebih memilih untuk membeli pakaian raya secara dalam talian berbanding mengunjungi kedai-kedai yang menjual secara fizikal sebagaimana yang lazim diamalkan.
“Tambahan pula, awal pulan Februari adalah musim pembukaan sesi persekolahan baharu, jadi orang ramai mungkin memilih untuk berjimat memandangkan mereka sudah banyak berbelanja untuk keperluan sekolah anak-anak,” ujarnya.
Namun, Haryanti tetap optimis bahawa menjelang seminggu sebelum Aidilfitri, kehadiran pengunjung mungkin akan bertambah.
“Tambahan pula, minggu depan adalah minggu gaji jadi orang mungkin akan keluar untuk membeli kelengkapan raya mereka,” ujarnya.

Bukan sahaja pakaian, jualan biskut raya turut terkesan pada tahun ini menurut NURUL AIN WAHIDA AHMAD, 38 tahun yang merupakan jurujual di premis perniagaan Tengah Gagah Enterprise.
“Perniagaan pada tahun ini agak perlahan walaupun harga lebih 30 jenis biskut raya yang kami tawarkan masih sama dengan harga tahun lepas.
“Masih banyak biskut raya tradisional seperti kuih bihun goreng, kuih karas dan biskut kapal terbang yang mana sebelum ini menjadi antara produk yang habis terjual menjelang 10 Ramadan.
“Nampaknya orang ramai sudah mula kurang berbelanja mungkin disebabkan musim persekolahan baru sahaja bermula pada Februari lepas,” ujarnya sambil berkata tempahan biskut raya pada tahun ini juga agak perlahan.
Keadaan sedikit berbeza bagi perniagaan Biskut Raya Kak Leen yang menerima permintaan sangat menggalakkan setakat ini.

Menurut FARAH SUZANAWATY ZAM ZAM, 20, bekalan biskut raya di premisnya sudah beberapa kali perlu ditambah kerana habis dijual dalam masa yang sangat singkat.
“Memang tidak dinafikan jualan pada minggu pertama agak perlahan tetapi masuk minggu kedua pelanggan sudah mula datang memborong biskut raya.
“Terdapat beberapa jenis biskut raya seperti ‘Short Bread’ dan ‘Red Pearl’sangat cepat habis dan sudah beberapa kali telah ditambah.
“Semalam sahaja, kebanyakan bekalan biskut raya hampir habis dijual dan hari ini kami terpaksa menambah bekalan biskut raya sekali lagi,” katanya yang menawarkan lebih 50 jenis biskut raya pada tahun ini.
Farah Suzanawaty turut menjangkakan kehadiran pelanggan akan bertambah pada minggu hadapan memandangkan orang ramai sudah mula menerima gaji selain beberapa bantuan tambahan yang diumumkan kerajaan.
“Kebiasaannya pada minggu terakhir pelanggan akan membeli secara fizikal kerana ada sesetengah peniaga dalam talian mempunyai tarikh akhir pengeposan untuk memastikan barang jualan mereka sampai ke tangan pengguna.
“Jadi bagi mereka yang membeli kelengkapan pada saat akhir terpaksa memilih untuk membeli di kedai secara fizikal,” katanya.

Dalam sektor perhotelan pula, tempahan bilik hotel menjelang Aidilfitri tertutamanya di kawasan pantai masih lagi perlahan.
Menurut Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, DATO’ TONY GOH NAI HENG, tempahan bilik hotel pada tahun ini masih kurang memberangsangkan setakat ini.
“Tempahan bilik hotel masih sangat rendah pada masa ini tetapi kami akan melihat pada minggu-minggu terakhir menjelang Aidilfitri, mungkin akan bertambah.
“Namun begitu, sepertimana tahun lepas, kita jangkakan tempahan bilik hotel sempena Hari Raya Aidilfitri boleh mencecah 70 peratus atau lebih,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi pagi tadi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS