Judo cemerlang di Sukma ke-21, tutup tirai kempen dengan enam emas, tiga perak dan empat angsa

img 20240822 wa0035

MUKAH – Sukan judo menampilkan prestasi cemerlang dalam kempen temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak dengan mengutip keseluruhan enam pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Acara judo yang menutup tirai perlawanan hari ini menyaksikan skuad judo merangkul tiga lagi pingat emas di samping dua perak dan dua gangsa dalam acara yang berlangsung di Dewan Balau, UiTM Kampus Mukah di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut juga telah melayakkan skuad judo Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi sukan itu dan merupakan pencapaian kali ketiga berturut-turut di Sukma.

Emas pertama judo hari ini disumbangkan oleh Amir Daniel Abdul Majeed selepas berjaya menewaskan lawannya dalam kategori lelaki tidak melebihi 81 kilogram (kg).

Lim Xin Jie dan Allysa Gan Jia Yi kemudiannya menambah keceriaan skuad judo apabila menambah dua lagi pingat emas masing-masing dalam kategori wanita 48kg serta tidak melebihi 52kg.

Dua pingat perak pula diraih menerusi Ashley Gan Jia Hui yang beraksi dalam kategori wanita tidak melebihi 44kg dan Ivan Ong Jun Hee bagi kategori lelaki melebihi 90kg.

Selain itu, Delwina Cheah Kah Yan yang turun berentap dalam kategori wanita tidak melebihi 57kg dan Tan Tze Ning bagi kategori lelaki tidak melebihi 90kg masing-masing menyumbang pingat gangsa.

Naib Presiden Persatuan Judo Pulau Pinang, Justin Khoo ketika dihubungi berkata mereka hanya meletakkan sasaran dua pingat emas sahaja pada temasya Sukma kali ini.

Beliau berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mengambil kira kebanyakan atlet judo yang menyertai kempen kali ini terdiri daripada muka-muka baru.

“Walau bagaimanapun, semua atlet telah menunjukkan aksi cemerlang dan berjaya merangkul enam pingat emas sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Kejayaan ini mungkin disebabkan kebanyakan daripada mereka telah terlibat dalam sukan judo sejak usia kanak-kanak lagi dan sekarang dibawa masuk untuk mewakili Kontinjen Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Pada hari pembukaan acara judo 20 Ogos lepas, Lim Xin Jie dan Qaleeda Izz’dika Mohd. Rosidi telah memenangi pingat emas selepas mengungguli acara Ju No Kata wanita.

Empat lagi atlet judo, Ng Yi Xuan dan Wong Yi Xuan kemudian menghadiahkan pingat emas kedua selepas memenangi acara Nage No Kata lelaki manakala Ng Yi Heng dan Frederic Yeap Zhangwei menyumbangkan emas ketiga.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MSNPP