Jumlah katil di hospital termasuk ICU mencukupi – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa jumlah katil serta kemudahan di hospital-hospital negeri ini termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah mencukupi bagi menampung pesakit COVID-19.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengambil langkah segera dengan menambah katil-katil serta kemudahan di ICU selepas berlakunya peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini beberapa hari lalu.

“JKNPP sudah menambah katil serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan membabitkan ketiga-tiga buah hospital di negeri ini, dan akan memantau keadaan dalam tempoh seminggu bermula Khamis lalu.

“(Dan) tindakan penambahbaikan akan dilakukan termasuk menambah kemudahan-kemudahan di ketiga-tiga hospital sekiranya perlu.

“Walau bagaimanapun, setakat hari Khamis lalu, Pengarah JKNPP melaporkan bahawa katil-katil (di hospital) adalah mencukupi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Bukit Mertajam telah dijadikan sebagai hospital hibrid bagi rawatan pesakit COVID-19.

“Hospital Kepala Batas pula telah diubah suai sepenuhnya untuk pusat rawatan dan pengurusan pesakit COVID-19 selain sebuah kontena turut ditempatkan di hospital berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, Kon Yeow dilaporkan berkata bahawa penggunaan katil COVID-19 di ICU di negeri ini hampir mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes yang agak tinggi beberapa hari lalu.

Susulan daripada itu kata beliau, JKNPP telah menyusun kemudahan yang ada di setiap hospital bagi menangani masalah tersebut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS