PULAU TIKUS – Berdasarkan rekod, daripada 1.7 juta populasi Pulau Pinang, seramai 830,789 orang telahpun direkodkan mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, daripada jumlah yang mendaftar seramai 109,122 orang atau menyamai 7.9 peratus sahaja telahpun divaksin di negeri ini sehingga kini.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat mempersoal pihak kementerian berkaitan berhubung jumlah penerima vaksin yang dianggap begitu rendah di negeri ini.
“Jumlah pendaftaran mungkin setengah (daripada populasi Pulau Pinang)…mengapa begitu rendah (jumlah penerima vaksin di Pulau Pinang)?
“Kita (populasi Pulau Pinang) mesti meneruskan hidup seperti biasa sebagai warganegara, maka sudah tentu kita mengharapkan Putrajaya segera membekalkan vaksin secukupnya (untuk 1.7 juta populasi negeri),” ujarnya dalam sidang media di Pulau Tikus di sini pada pagi tadi.
Turut serta, ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan beberapa anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Selain itu, Jagdeep turut membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan beberapa kluster baharu di kilang sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas dalam beberapa hari belakangan ini.
“Kita dapat lihat beberapa kluster di Pulau Pinang, rata-rata dari kawasan perindustrian.
“Jadi, (kewujudan kluster industri) itu menuntut kita (kerajaan) menyegerakan usaha kita supaya kita boleh menempatkan pekerja asing (kilang) di suatu tempat yang sesuai.
“(Justeru,) salah satu keutamaan yang kita (Kerajaan Negeri) sedang bincangkan adalah untuk mempercepatkan pembinaan asrama pekerja (untuk pekerja asing),” katanya.
Setakat ini, tambahnya lagi, terdapat dua asrama pekerja khusus untuk pekerja asing telah siap dibina di Batu Maung dan Bukit Minyak, dengan kapasiti penghuni secara keseluruhan adalah 6,221 unit katil.
“Kita ada tujuh skim lagi untuk asrama pekerja dalam rancangan pemajuan, akan menyediakan 61,918 katil,” jelasnya lagi sambil memberitahu ia tidak termasuk dua skim asrama pekerja lain yang baru dimohon serta bakal menyediakan kira-kira 10,700 katil.
Pun begitu, beliau memberitahu bahawa dengan jumlah pekerja industri kira-kira 200,000 orang adalah tidak cukup jika kesemua 11 skim asrama pekerja dibina ketika ini.
“Jadi, selain memohon program vaksin ini dipercepatkan, masing-masing mesti terus menjaga diri dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” tegasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB