Jurulatih ‘bayar’ nazar selepas skuad petanque Pulau Pinang raih pingat emas, perak

Admin
PARA atlet petanque berpasukan wanita Pulau Pinang yang memenangi pingat emas dalam saingan akhir di Arena Petanque Pudu Ulu, Cheras di sini pada petang tadi.

KUALA LUMPUR – Atlet petanque berpasukan wanita Pulau Pinang hari ini memenangi pingat emas selepas berjaya menjinakkan jaguh berkumpulan dari negeri Kelantan di Arena Petanque Pudu Ulu, Cheras di sini.

Mereka, Nor Intan Sari Khalid, Nur Ayuni Md. Yusri, Nur Fatin Suhaimi, Nur Nisa Nadhirah Mohd. Tirmeezy, Nurul Anis Nasir, Siti Aishah Zaini dan Wong Yun Yi.

NASIR Mohd. Noor

Jurulatih petanque negeri, Nasir Mohd. Noor memberitahu Buletin Mutiara bahawa pada Rabu lepas Nor Intan Sari, Nur Ayuni, Nur Fatin, Nur Nisa Nadhirah, Nurul Hanis dan Yun Yi turut menghadiahkan pingat perak bagi acara triple wanita kepada Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang, selepas menundukkan kelincahan atlet negeri Johor.

“Dalam temasya SUKMA 2018 di Perak, kita (skuad petanque negeri Pulau Pinang) berjaya mendapat dua pingat emas dan satu perak (sementara) SUKMA Ke-20 ini kita mendapat satu emas dan satu perak sahaja.

“Jadi, dari segi jumlah pingat, kita tak berjaya mengekalkan bilangan pingat seperti di SUKMA Perak,” jelasnya selepas majlis penyampaian pingat di sini pada 23 September 2022.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa kagum dengan sekalian atlet petanque Pulau Pinang yang begitu gigih serta tidak berputus asa dalam memburu kejuaraan bagi 10 acara berkaitan, sungguhpun mereka masing-masing melalui sesi latihan dalam pelbagai kekangan termasuk akibat pandemik COVID-19 selama hampir tiga tahun.

“Dengan keadaan gelanggan untuk atlet petanque negeri berlatih serba ‘susah’ dan berbeza, apabila datang bersaingan di sini gelanggangnya ‘lain’; dengan pelbagai lagi cabaran teknikal dan masa latihan yang begitu terhad untuk membuat persiapan skuad petanque negeri.

“Pada hari ini, saya begitu berpuas hati dengan persembahan anak buah saya di gelanggang saingan, dan pencapaian pingat ini,” jelasnya lagi.

Difahamkan, Nasir merupakan pesara tentera dan menjadi jurulatih petanque negeri Pulau Pinang sejak tahun 2011 lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa Persatuan Petanque Negeri Pulau Pinang dalam SUKMA Ke-20 antara lain menyasarkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangga.

Dalam perkembangan berkaitan, Nasir menjelaskan bahawa tindakan meminta para atlet memangkas rambutnya adalah sebagai ‘membayar’ nazar.

“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi, saya tidak memangkas rambut dan simpan rambut.

“Sasaran saya, memang nak pangkas rambut saya jika skuad petanque menjaya membawa pulang pingat emas,” jelasnya sambil merafakkan rasa syukur kepada Allah atas kejayaan bersama tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI