‘Jurutera kopi’ saji kopi, kek cita rasa lokal yang autentik

Admin

HIPSTER, minimalis, unik dan estetik merupakan antara konsep baharu yang kini sering diterapkan di kafe-kafe seluruh dunia termasuk di Pulau Pinang, terutamanya golongan muda-mudi yang singgah untuk menikmati secangkir kopi sambil bersantai dengan rakan-rakan dan berswafoto bersama-sama.

 

Trend sebegini juga dilihat memberi nilai tambah kepada pengusaha dari segi publisiti dan promosi apabila pengunjung yang berkunjung tidak melepaskan peluang memuat naik gambar mahupun video pendek ke media sosial peribadi masing-masing.

 

Bagi MOHD. RIDZUAN MOHD. KAMIL, 39, pemilik Kafe brwnsgr.neighboorhood, pembukaan kafe berkenaan pada Ogos 2022 bukanlah bertujuan untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya semata-mata tetapi juga sebagai platform untuk berkongsi cita rasa dan keistimewaan pelbagai jenis kopi.

 

“Di Kafe brwnsgr.neighboorhood, saya cuba tampilkan perspektif baru terhadap kopi dan kek, sambil menikmati sambil belajar mengenai kopi serta profil rasa jenis-jenis kopi dan kek,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, NURATIKAH RAHMAT di kafe yang terletak di 2L, Jalan Delima, Island Glades.

 

Berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), Mohd. Ridzuan sebelum ini pernah bekerja dalam sektor pembuatan di Juru.

 

Malah, beliau juga pernah mengambil upah menjadi jurugambar sambilan bagi majlis-majlis perkahwinan sebelum ‘terjun’ ke arena makanan dan minuman (F&B) dengan menjual kek secara dalam talian dari rumah.

 

Perjalanan Perniagaan ‘Jurutera Kopi’

 

Meskipun memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan bukannya dari bidang F&B, namun dek kerana minat Mohd. Ridzuan dan pasangannya, SUHANA SHAHABUDIN, 39, memberanikan diri membuka sebuah kafe di kawasan tumpuan pelancong di George Town.

 

“Pada ketika itu, kafe-kafe tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang mana rata-rata menawarkan variasi cita rasa.

 

“Saya mengambil risiko, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’, saya beranikan diri memulakan perniagaan F&B dengan membuka kafe dikenali sebagai The Table Penang pada tahun 2014.

 

TATA hias yang lebih ‘homy’ untuk pelanggan.

Kafe ini menyajikan makanan barat seperti burger dan pasta yang mana kesemua menu ini adalah ‘homemade’ dan diolah mengikut cita rasa komuniti lokal.

 

“Waktu kafe ini dibuka, tak banyak kafe yang dimiliki oleh orang Melayu, jadi The Table Penang antara peneraju yang menghidangkan makanan selera barat yang halal, ringkas, autentik dan homemade.

 

“(Dan) sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang kejuruteraan, segala dekorasi termasuk kerusi dan meja adalah menggunakan idea sendiri dan isteri.

 

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga membolehkan saya perkenalkan rangkaian baru yang tertumpu pada kopi dan kek,” jelasnya.

ADAKALA Mohd. Ridzuan Mohd. Kamil mengadun dan membancuh kopi yang dipesan oleh pelanggan.

Setelah hampir tiga tahun bertungkus-lumus ‘menuntut’ dan mempelajari sendiri ilmu mengenai kopi, Mohd. Ridzuan menjenamakan semula rangkaian baru dengan memfokuskan kopi dan kek sebagai menu utama.

 

“Kafe Brown Sugar Eatery wujud tanpa ada outlet fizikal, kira ‘menumpang’ di The Table dulu sebelum berpindah ke Bayan Lepas.

 

“(Dan) seperti kafe-kafe lain, Kafe Brown Sugar Eatery juga tampil dengan kelainan yang mana kami menggunakan gula perang sebagai bahan utama dalam semua menu kami.

 

“Bermula dari situlah, ‘Brown Sugar’ ini diangkat sebagai jenama perniagaan kami, yang mana kami mahu semua produk yang dihasilkan melalui kafe kami lain daripada yang lain dan hanya boleh dinikmati di outlet-outlet kami sahaja,” katanya.

 

Kafe brwnsgr.neighbourhood tawar menu lokal

 

Di  Kafe brwnsgr.neighbourhood, Mohd. Ridzuan memberitahu bahawa menu-menu yang ditawarkan lebih bersifat lokal mengikut cita rasa tempatan rakyat Malaysia.

 

KEK keju berperisa bandung tetap mempunyai peminatnya tersendiri.

“Misalnya kek keju yang dihasilkan di sini mempunyai perisa seperti pandan, bandung, ‘kuih lapis’, ‘kuih bakar’, ‘apam balik’ selain daripada perisa original, coklat Belgium, beri biru dan sebagainya.

 

“Begitu juga minuman, yang mana kami menggunakan biji kopi sama ada dari jenis Brazilian, Colombian ataupun Guatemala dan merancang untuk mengadakan ‘house blend roasted coffee’ pada masa depan.

 

Setakat ini, rata-rata pelanggan berpuas hati dengan variasi kopi yang disediakan. Walaupun kopi sebagai hidangan minuman utama, kafe ini turut menyajikan minuman alternatif dan tidak berkafeina.

 

“Antara hidangan kopi ‘signature’ di sini adalah seperti ‘Cremo Latte’, ‘Mocha Fredo’, ‘Super Sonic’ dan ‘Orange Sunkiss’.

 

‘ORANGE Sunkiss’ antara minuman ‘signature’ di Kafe brwnsgr.neighboorhood di sini.

“Bagi bukan penggemar kopi kami mempunyai ‘gryphon artisan tea’ seperti ‘Copacabana’, ‘Lemon Ginger Mint’, ‘Marrakesh Mint’, ‘Mogambo’ dan ‘Chamomile’ atau pilihan variasi minuman berperisa coklat dan ‘matcha’.

 

“Alhamdulillah, walaupun baru dibuka di kawasan kejiranan ini, menu-menu di kafe ini mula mendapat perhatian terutama penduduk di sekitar sini,” kongsinya yang masih mahu mempelbagaikan lagi penggunaan bahan dalam menu yang disediakan.

 

Konsep minimalis jadi pilihan

 

Sama seperti Kafe The Table Penang yang terletak di Lebuh Carnarvon dan Kafe Brown Sugar Eatery di Jalan Sultan Azlan Shah, Kafe brwnsgr.neighbourhood juga di tata hias secara minimalis.

 

Dekorasi dan susun atur perabot bagi setiap kafe adalah secara minimalis yang mana setiap ruang yang ada memenuhi keperluan dan kapasiti.

 

TATA hias luar Kafe brwnsgr.neighbourhood yang ringkas.

“Misalnya di The Table Penang reka bentuk meja makan adalah hasil cetusan idea saya dan isteri menggunakan kayu palet dan sebagainya, begitu juga di outlet di Bayan Lepas yang menggunakan konsep bar kontena.

 

“Di sini, kami mahu setiap pelanggan yang datang rasa ‘homy’ seperti di rumah sambil menikmati kopi dan kek,” ujarnya yang masih dalam proses untuk mengubah suai ruangan di hadapan kafe tersebut.

 

Difahamkan, Kafe brwnsgr.neighbourhood bertindak sebagai central kitchen untuk pembuatan kek sebelum dibawa ke outlet-outlet lain setiap hari.

 

Cabaran perniagaan

 

Setiap perniagaan tanpa mengira saiz pasti akan menempuhi pelbagai cabaran begitu juga dalam perniagaan kafe. Cabaran dari segi persaingan perniagaan, perubahan cita rasa, keadaan ekonomi semasa dan persekitaran perniagaan adakala memerlukan tindakan pantas dalam merangka strategi agar perniagaan yang diusahakan dapat bergerak seiring perubahan keadaan.

MOHD. Ridzuan Mohd. Kamil akui perjalanan hidup sebagai usahawan adakala mencabar.

Tidak menafikannya, Mohd. Ridzuan akui perjalanan hidup sebagai usahawan memerlukannya untuk berfikir pantas dalam menentukan hala tuju perniagaannya. Hal ini termasuk isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor F&B telah menyebabkan wujudnya ‘tekanan’ kepada pengusaha kafe atau premis makanan.

 

“Tak ramai anak muda yang berminat bekerja dalam bidang F&B ini, ramai yang beralih menjadi penghantar makanan kerana mempunyai masa yang lebih fleksibel jika dibandingkan kerja di kafe,” katanya yang kini mempunyai keseluruhan sembilan orang barista dan lima tukang masak di ketiga-tiga outlet.

 

Ditanya mengenai cabaran perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd. Ridzuan berkata seperti perniaga lain juga, dia juga terkesan.

 

“Waktu tu outlet di sini (Island Glades) belum ada tapi memang ‘slow’…jadi kami teruskan promosi di media sosial dan alhamdulillah masih bertahan,” katanya.

 

Perancangan masa depan & harapan

 

Menurut Mohd. Ridzuan, selain berhasrat mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan jenama ‘Brown Sugar’ di negeri ini, beliau juga mahu membuka cawangan di luar Pulau Pinang.

 

‘BUAT sampai jadi’ kalimat yang dipegang oleh Mohd. Ridzuan Mohd. Kamil.

Memang ada keinginan untuk membuka cawangan di luar Penang dan kalau boleh di Ipoh, Perak…mungkin itu perancangan masa depan tetapi dalam waktu terdekat ini, saya mahu memperkenalkan ‘van kopi bergerak’,

 

“Van kopi ini hanya akan bergerak untuk hujung minggu di port lepak misalnya di Jambatan Kedua…dengan menawarkan kopi dan kek terutama kepada ‘coffee lovers’ dan ‘cake hunters’.

 

“Selain itu, sekarang ini juga saya terlibat dengan sesi ‘coaching’ yang mana saya berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan kafe seperti ini.

 

“Saya juga mahu mengadakan kelas untuk barista dan berkongsi teknik-teknik bru, selok belok perniagaan supaya barista yang hadir ke kelas saya dapat ilmu atau kemahiran tambahan untuk memajukan diri.

 

“Pada saya, apabila kita buat sesuatu tu, kita kena teruskan dan buat sampai jadi, buat sampai kita merasa puas,” katanya yang memang mahu mengajar dan berkongsi pengetahuan tentang kopi dan perniagaan kafe ini.