K. Devan jurulatih baru ‘Harimau Kumbang’

KETUA Menteri bersama barisan pemain Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menunjukkan tanda sokongan pada majlis pengumuman jurulatih baru di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

BAYAN BARU – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) melantik jurulatih pasukan baru, K. Devan bagi menggantikan Merzagua Abderrazak sebelum ini.

 

K. Devan.
K. Devan.

Lantikan Devan, 52, yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih pasukan negeri Selangor dan Negeri Sembilan adalah bagi melatih skuad bola sepak negeri sebagai persediaan mengharungi Liga Perdana 2014.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika memperkenalkan Devan menyifatkan bahawa lantikan tersebut adalah langkah awal Pulau Pinang dalam menaikkan semula mertabat dan zaman kegemilangan skuad yang mendapat nama jolokan ‘Harimau Kumbang’.

 

“Suka atau tidak, walaupun sukar, langkah pertama haruslah diambil bagi hasil yang terbaik di masa depan.

 

“Kreadibiliti yang ditunjukkan Devan dalam membimbing pasukan-pasukan sebelum ini diharap turut dapat memberikan satu suntikan baru terhadap pasukan Pulau Pinang apabila beraksi di Liga Perdana 2014 musim hadapan.

 

“Ini adalah ekoran kejayaan menjuarai Liga FAM tahun ini,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

 

Turut diperkenalkan pada majlis tersebut adalah jurulatih kecergasan,

Leonardo Azevedo yang berasal dari Brazil. Beliau akan berganding bahu bagi menguatkan barisan kejurulatihan pasukan FAP.

 

LEONARDO Azevedo.
LEONARDO Azevedo.

Pada majlis sama, Guan Eng turut memperkenalkan enam pemain baru iaitu G. Mahathevan, Mohammad Rafiuddin Roddin, Khairul Amri Salehuddin, Muhamad Zamri Chin, Hariri Mohd Safii dan Lew Han Hung.

 

Tambah Guan Eng yang mewakili pihak Kerajaan Negeri turut berjanji akan memastikan bayaran gaji para pemain dibayar mengikut tempoh ditetapkan dengan tiada kelewatan.

 

Dalam pada itu, Devan ketika ditemui jelas gembira apabila diberi kepercayaan membimbing pasukan Pulau Pinang dan menganggap amanat untuk mengembalikan zaman kegemilangan skuad berkenaan adalah satu cabaran yang hebat.

 

“Saya amat berbangga apabila terpilih.

 

“FAP mempunyai sejarah pasukan yang hebat, malah, sokongan padu peminat juga amat ketara di samping persekitaran Pulau Pinang yang baik serta pemain-pemain yang mewakili skuad ini terdiri daripada pelbagai kaum,” ujarnya.

 

Ketika ditanya mengenai cakap-cakap laman sosial yang mempertikaikan pemilihan beliau, Devan nekad membuktikan bahawa persepsi pihak-pihak tersebut adalah salah.

 

“Saya sedaya-upaya akan membimbing Pulau Pinang ke tahap terbaik dan kalau boleh, memang kita hendak layak bermain di Liga Super pada musim berikutnya,” sahut beliau.