GEORGE TOWN – Dalam mengejar arus pemodenan, semua pihak diseru untuk memelihara budaya-budaya yang menyumbang kepada keharmonian kaum.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa salah satu budaya yang wajar dipelihara adalah acara menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk secara gotong-royong kepada komuniti setempat yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Kacau Bubur Lambuk di perkarangan Surau Asy-Syakirin Taman Belibis Simpang Ampat di sini pada 8 Mac 2025.
“Pemeliharaan budaya bukanlah tentang menolak perubahan.
“Budaya (menyediakan dan mengacau bubur lambuk) seperti ini amatlah penting untuk dikekalkan, bukan hanya sekadar sebuah tradisi tetapi ianya sebagai usaha pemeliharaan identiti sebagai bangsa Malaysia yang akan diwariskan kepada generasi ke generasi akan datang.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah yang mana masyarakat perlu menerima dan menjadi sebahagian dalam arus pemodenan, keperluan untuk memelihara warisan budaya menjadi lebih penting berbanding masa sebelumnya, dan usaha ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dah Komunikasi dalam majlis tersebut.
ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000 sehingga siapnya projek pembinaan bumbung kekal atau ‘Teduhan Al-Syakirin’ di perkarangan hadapan surau tersebut pada 8 September tahun lepas.
Manakala, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Belibis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Kacau Bubur Lambuk tersebut menyatakan bahawa pihaknya berharap pentadbiran Kon Yeow dapat mempertimbang permohonan peruntukan sejumlah RM80,000 untuk pelaksanaan fasa dua projek ‘Teduhan Al-Syakirin’ iaitu projek penambahbaikan beberapa projek infrastruktur awam yang diperlukan rakyat.
Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Rachel Teh Chuann Yien serta Darwin Lim Chee Chien; Ketua Balai Polis Simpang Ampat, Sub Inspektor Mohd. Shukri Hamzah; Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marwan Storepipe dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat, Tan Tiong Hoe turut sertai Program Kacau Bubur Lambuk tersebut.
Seusai majlis tersebut, Kon Yeow bersama-sama pemimpin negeri turut dibawa melawat Perpustakaan Desa Taman Belibis dan Tabika Perpaduan Taman Tangling berhubung cadangan projek penaiktarafan infrastruktur berkaitan yang dirangkumkan di bawah fasa dua projek ‘Teduhan Al-Syakirin’.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD