Kadar cukai taksiran baru MBSP berkuat kuasa 1 Januari 2025

Admin
whatsapp image 2024 09 13 at 18.09.38

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menaikkan kadar cukai taksiran seningga lima peratus mengikut kategori bangunan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata kenaikan tersebut adalah berdasarkan kadar cukai taksiran semasa, yang diguna pakai sejak 2020.

Selain itu katanya, penialian semula kadar cukai taksiran juga dibuat memandangkan cukai sedia ada akan tamat pada 31 Disember 2024 selain peningkatan kos pengurusan di kawasan Seberang Perai.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan cukai taksiran itu hanya melibatkan 63 peratus atau 228,721 daripada keseluruhan 362,097 pegangan di Seberang Perai, manakala baki 133,376 (37 peratus) lagi tidak terlibat dan kekal dengan kadar yang dibayar kini.

“Kategori pegangan yang mengalami perubahan cukai taksiran hanya melibatkan kediaman pangsa dan bertanah, (tidak termasuk kos rendah dan kos sederhana rendah) dengan masing-masing sebanyak 41,988 dan 140,333 unit.

“Turut terlibat ialah pegangan jenis perdagangan sebanyak 29,527 unit, kilang dan kilang ringan dengan masing-masing 1,793 dan 4,999 unit, stesen minyak (154 unit) dan tanah pembangunan 9,927 unit,” katanya pada sidang media dekat Menara MBSP di sini, baru-baru ini.

Baderul Amin berkata, kelulusan menyemak semula senarai nilaian sedia ada sepertimana yang termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri yang melibatkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Pelaksanaan senarai nilaian baharu mulai tahun 2025 bakal melibatkan tambahan hasil cukai baharu kepada MBSP yang akan digunakan bagi tujuan operasi pembersihan dan pelupusan sisa pepejal, serta penyelenggaraan jalan.

“Selain itu, hasil cukai ini juga akan digunakan untuk menaik taraf dan
penyelenggaraan pelbagai kemudahan awam, penyelenggaraan dan pengindahan landskap serta pelbagai lagi kemudahan lain kepada komuniti di kawasan Seberang Perai,” jelasnya lagi

Baderul Amin berkata, Senarai Nilaian Baharu 2025 itu dijangka dapat menjana tambahan hasil cukai MBSP sebanyak RM10.757 juta.

“Sebagai contoh 87.55 peratus daripada 41,988 unit jenis kediaman pangsa selain daripada kos rendah dan sederhana rendah hanya perlu membayar sehingga RM20 kenaikan kadar penilaian.

“Baki selebihnya pula dengan perlu membayar lebih daripada RM20,” katanya sambil menekankan bahawa kadar kenaikan tersebut sangat rendah dan dilihat tidak akan membebankan pemilik unit bangunan terlibat.

Baderul Amin berkata, mana-mana pemilik hartanan yang tidak berpuas hati dengan kadar kenaikan cukai baharu boleh membuat bantahan bertulis mengikut Seksyen 142 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada Datuk Bandar melalui laman sesawang MBSP mulai 13 September sehngga 14 Oktober 2024.

“Semua bantahan yang diterima akan didengar oleh Jawatankuasa Bantahan Cukai (Penilaian semula) dan keputusan rayuan akan dimaklumkan selewat-lewatnya April tahun depan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI