GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melakukan semakan cukai tanah yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, yang mana akan melibatkan pengelasan tanah desa ke bandar di beberapa lokasi di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata permohonan berwajib kepada Majlis Tanah Negara telah dibuat dengan mengambil kira rekod semakan terakhir cukai tanah di Pulau Pinang adalah 20 tahun lepas iaitu pada 1994.
“Setakat ini, proses semakan sedang berlangsung dengan melibatkan 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang oleh pasukan petugas di Pejabat Tanah Galian sertaPejabat Daerah dan Tanah.
“Dijangkakan, proses semakan ini akan berterusan sehingga penghujung tahun 2025,” jelasnya semasa membentangkan Belanjawan 2025 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri pada 22 November 2024.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri hari ini memberi jaminan bahawa proses semakan cukai serta pengelasan tanah desa kepada bandar ini akan dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor dan pihak berkepentingan lain.
Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menjelaskan bahawa proses semakan cukai serta pengelasan tanah desa ke bandar ini diharap dapat meningkatkan hasil cukai tanah Kerajaan Negeri antara RM50 juta hingga RM100 juta mulai tahun 2026.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT & SIEW CHIA EN