GEORGE TOWN – Kadar liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negeri Pulau Pinang mencapai kadar 91.7 peratus sehingga 17 November lalu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata sebanyak 445 daripada 450 tapak pemancar struktur komunikasi telah tersedia dengan liputan 5G di negeri ini.
“Baki selebihnya akan disiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata selain liputan 5G, Kerajaan Negeri turut memberikan fokus kepada rangkaian dalam bangunan (IBC) di negeri ini.
“Selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan SPICE Arena dilengkapi dengan liputan rangkaian 5G, bangunan Komtar pula telah dilengkapkan dengan kemudahan serupa.
“Sebagai permulaan, beberapa aras yang menjadi tumpuan rakyat untuk berurusan dengan Kerajaan Negeri dan aras-aras penting di Komtar telah dilengkapkan dengan kemudahan rangkaian 5G,” katanya.
Mengulas mengenai penambahbaikan telekomunikasi di atas Jambatan Pulau Pinang, Zairil berkata perkara itu telah selesai sepenuhnya pada 31 Oktober lalu.
“Pengujian liputan telah dijalankan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) bersama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 13 November lalu.
“Hasil pengujian menunjukkan bahawa liputan komunikasi berada dalam keadaan yang baik dan lancar.
“Justeru, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pihak-pihak terlibat yang telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang pelaksanaan rangkaian 5G di Pulau Pinang, sejak penghujung tahun 2021,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS