SEBERANG JAYA – Mulai 1 Januari 2025 kadar parkir awam di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dinaikkan daripada RM0.40 kepada RM0.80 sejam.
Semasa mengumumkan perkara itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, caj parkir harian turut dinaikkan daripada RM3 kepada RM6 sehari; dengan bayaran bulanan meningkat sekali ganda berbanding RM75 sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, pihak MBSP mengambil maklum perkara ini (iaitu penggunaan parkir dalam tempoh masa kurang dari setengah jam) dan telah mewujudkan suatu kadar baru melibatkan tempoh penggunaan singkat iaitu kadar caj setengah jam sebanyak RM0.40 bagi tempoh penggunaan setengah jam,” jelasnya kepada pemberita di Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya pada 13 Disember 2024.
Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MBSP, Sr. Zulhisyam Abdul; dan Pengarah Direktorat Penguatkuasaan MBSP, Nazri Abdul Wahab turut sertai sidang media tersebut.
Buletin Mutiara difahamkan kadar parkir asal tidak pernah disemak oleh MBSP sejak hampir 30 tahun.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Baderul Amin memberitahu bahawa pentadbirannya memerlukan kira-kira RM3 juta untuk kerja-kerja tukar baharu bateri peranti pengesan di 22,000 petak parkir Penang Smart Parking (PSP) yang telah tamat tempoh.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya turut akan menaik taraf baki 2,000 petak parkir dengan menggunakan peranti pengesan berkamera di beberapa kawasan terpilih, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR