Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus (PDCSU) yang kini menguruskan tempat letak kereta bertingkat Komtar di sini mengambil inisiatif khas menurunkan kadar bayaran parkir berkuatkuasa 1 Mei lalu.
Pengimplementasian tersebut diumumkan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik pada sidang media ringkas di sini baru-baru ini.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.
Katanya, kadar baru bagi kereta adalah RM1 bagi setiap satu jam iaitu membabitkan pengurangan bayaran sebanyak 17 peratus berbanding sebelum ini, RM1.20 setiap satu jam.
“Bagi motosikal, kadar adalah kekal sama iaitu RM1 untuk sekali masuk.
“Bagi pas bulanan kereta, kadar baru adalah sebanyak RM100 berbanding sebelum ini, RM127.20. Bagi Motosikal, pas bulanan adalah bernilai RM10.
“Bagi kes kehilangan tiket, harga denda adalah kekal pada RM12,’’ katanya. Parkir bertingkat Komtar menyediakan 288 petak parkir kereta dan motosikal (580).
Tambah Wei Aik, berbanding sebelum ini, waktu operasi parkir yang bermula pada pukul 7 pagi dilanjutkan ke jam 10.30 malam bagi memberi kemudahan kepada kakitangan serta pengunjung pasaraya-pasaraya berhampiran.
“Perubahan waktu ini diharap lebih menyenangkan pengguna di sekitar Komtar yang kerap menggunakan parkir tersebut,’’ jelasnya.
Mengulas lanjut berhubung penaiktarafan parkir berkenaan, Wei Aik menyatakan bahawa syarikat pemaju yang bertanggungjawab menaiktaraf tingkat lima dan puncak (tingkat 60 hingga 65) Komtar, One World Group, bakal mengemukakan kertas cadangan berkaitan.
“Parkir ini akan dinaiktaraf ekoran keadaannya yang agak daif.
“Penambahan pencahayaan, pengecatan, pembersihan, baik pulih lif serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan satu perancangan yang diambil kira,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Lai Heng memberitahu bahawa diharap parkir tersebut dapat mengelakkan gejala meletak kenderaan di bahu Jalan Tek Soon yang secara tidak langsung menyebabkan kesesakan lalulintas.