Kadar premium tanah kini berpandukan nilaian JPPH, respons Kon Yeow

Admin

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri tidak menetapkan kadar premium tanah diluar kadar yang telah ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa lazimnya, di negeri Pulau Pinang, kadar premium tanah yang dikenakan adalah berdasarkan nilaian semasa dibuat oleh JPPH mengikut lokasi hartanah terbabit.

“Oleh yang demikian, pihak swasta, pemilik tanah mahupun mana-mana pihak (yang mahu melaksanakan pembangunan atas mana-mana tanah milikan) perlu akur dengan penilaian yang dikenakan.

“Tidak dinafikan, adakala mereka (pihak-pihak berkaitan) merasakan nilai tanah mereka lebih tinggi daripada penilaian (oleh JPPH) apabila tanah mereka diambil.

“Sekiranya satu kadar premium tanah dikenakan sama ada atas pembaharuan atau pemberimilikan, mereka akan menganggap penilaian tersebut adalah terlalu tinggi.

“Justeru, bagi kadar premium tanah di negeri ini, kita (Kerajaan Negeri) berpandukan kepada penilaian yang dibuat oleh JPPH kerana asas penilaian adalah berdasarkan transaksi tanah dan persekitaran tanah yang ingin dinilai,” ujarnya yang juga merupakan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa bagi projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, kebiasaannya tanah tersebut adalah di bawah milikan kerajaan.

“Adakala tanah tersebut adalah (tanah) yang dipegang atau diserahkan sejak lama dahulu (kepada pihak Kerajaan Persekutuan).

“(Dan) apa-apa perancangan projek pembangunan yang disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia, (proses) akan mula dengan pengambilan tanah walaupun projek tersebut dilaksanakan pada masa hadapan secara berfasa serta tidak dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia semasa,” jelasnya.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap soalan wartawan berhubung syor yang sedang dirangka Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) untuk menyeragamkan kadar premium tanah yang dikenakan bagi mengelak projek berkepentingan awam tidak tergendala atau kos pembangunan yang melambung terlalu tinggi.

Syor tersebut melibatkan kadar premium tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan membabitkan pembinaan sekolah, rumah mampu milik, balai polis, hospital dan kem tentera.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN