Kadar zakat fitrah Pulau Pinang RM7, RM13 dan RM20

Admin
(Dari kiri) Samsudin Bakar, Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Amran Hazali dalam sidang media berkaitan di Pusat Konvensyen Perda, Kubang Menerong dekat sini pada 17 Mac 2023.

PINANG TUNGGAL – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan kadar zakat fitrah bagi tahun 1444M/2023M adalah RM7, RM13 dan RM20.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman memberitahu bahawa penetapan kadar itu adalah berdasarkan harga mengikut jenis dan gred beras yang dimakan oleh kebanyakan umat Islam di negeri ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata ketiga-tiga kadar zakat fitrah itu telah diluluskan oleh Jawatankuaaa Fatwa Negeri Pulau Pinang serta mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong selaku Ketua Agama Islam bagi negeri ini.

“RM7 (kadar zakat fitrah adalah merujuk pada mereka yang makan) Beras Spesial Tempatan 5 peratus; Super Spesial Tempatan 10 peratus, Beras Tempatan Standard, Beras Tempatan Premium, Beras Hancur, Beras Merah atau lain-lain yang setara dengannya.

“RM13 pula (kadar zakat fitrah adalah merujuk pada mereka yang makan) beras wangi, beras pulut, beras rebus, beras import atau setara yang setara dengannya; sementara RM20 adalah bagi mereka yang makan beras Basmathi, Herba Ponny, Beras Jepun (atau) Calrose atau yang setara dengannya.

“Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan,” jelasnya semasa berucap Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah & Sumbangan Ihya Ramadan Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 1444H / 2023M di Pusat Konvensyen Perda, Kubang Menerong dekat sini pada 17 Mac 2023.

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti menasihatkan umat Islam di Pulau Pinang supaya membayar zakat fitrah kepada amil yang sah dilantik oleh MAINPP dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sahaja, sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Selain pembayaran zakat fitrah melalui amil yang telah dilantik, ZPP juga ingin menggalakkan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat menunaikan zakat fitrah mereka melalui kaedah dalam talian yang disediakan seperti melalui portal zakatpenang2u.com dan JomPay dan beberapa kaedah digital yang akan diuar-uarkan menjelang Ramadan nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Menurutnya lagi, ZPP pada tahun ini melantik seramai 1,699 orang Amil Zakat Fitrah yang melibatkan 237 pusat kutipan bagi memungut zakat fitrah di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada tahun ini dengan sempurna, ZPP akan membuat pembayaran pendahuluan amil yang melibatkan RM638,632,” jelasnya lagi sambil memberitahu jumlah itu meningkat sebanyak RM55,870 berbanding tahun 2022.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa ZPP menyasarkan RM6.7 juta pungutan zakat fitrah bagi tahun ini dengan mengambil kira kejayaan agensi negeri itu mengutip RM6.59 juta pada tahun lepas.

Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Datuk Samsudin Bakar, dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali turut sertai sidang media tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS