KADUN Perai edar 2,000 Jalur Gemilang semarakkan sambutan kemerdekaan

Admin

PERAI – Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai mengedarkan kira-kira 2,000 bendera Jalur Gemilang kepada penduduk setempat bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

David Marshel yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata bahawa sehingga hari ini hanya segelintir penduduk di negeri ini dilihat mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di premis mahupun kenderaan masing-masing.

“Lagi empat hari kita akan menyambut Hari Kemerdekaan tetapi apa yang kita nampak adalah kebanyakan penduduk di negeri ini tidak memasang bendera di premis dan kenderaan mereka berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Mungkin ada banyak faktor yang menyebabkan penduduk tidak memasang Jalur Gemilang seperti masalah ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19 atau mereka sukar mendapatkan bendera kerana tidak semua kedai menjualnya.

Salah seorang peniaga menerima Jalur Gemilang yang disumbangkan oleh Pejabat KADUN Perai.

“Oleh itu, kita mengambil inisiatif mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada penduduk di KADUN Perai untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dan rasa cinta kepada negara tanpa mengira fahaman politik masing-masing,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan pengunjung Pasar Awam Taman Chai Leng, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jason Raj serta pegawai-pegawai khas KADUN Perai.

David yang juga Ahli Majlis bagi MBSP dalam pada itu turut menasihati rakyat di negara ini khasnya penduduk Pulau Pinang supaya lebih peka terhadap tatacara pemasangan bendera agar tidak menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Sejak kebelakangan ini banyak kes pasang bendera terbalik dilaporkan di media massa dan media sosial yang mana kita rasa perbuatan seperti tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah mengkhianati rakyat dan negara.

“Sebagai warganegara, kita sepatutnya tahu cara untuk memasang bendera kerana bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan bahawa Pasar Awam Taman Chai Leng kini dipantau oleh 12 anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) KADUN Perai bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Selepas adanya kes aktif baru COVID-19 yang dilaporkan pada Julai lalu, kita buat keputusan untuk memperketat kawalan di pasar awam ini bagi mengawal penularan wabak.

“Saya bersama-sama Jason Raj juga memperuntukan RM5,000 untuk menyediakan keperluan bagi penyediaan prosedur operasi standard (SOP) seperti alat pengimbas suhu badan dan membayar upah anggota MPKK yang bertugas di sini sebanyak RM30 sehari,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS