KAFA Pulau Pinang peneraju inisiatif pembelajaran dalam talian

Admin

KERAJAAN Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sentiasa komited dalam usaha memartabatkan institusi pendidikan Islam di negeri ini termasuk memastikan pelaksanaan dan keberkesanan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, KAFA Pulau Pinang telah mengalami perubahan daripada hanya sekadar kelas tambahan untuk mempelajari atau mendalami ilmu agama semata-mata kepada pendidikan yang berteraskan Al-Quran dan juga teknologi.

Bertemakan ‘Ke Arah Pendidikan Berkualiti dan Berkat’, KAFA Pulau Pinang telah merancakkan strategi pendidikan bermula dengan langkah membina kredibiliti dan profesionalisme seperti mencipta domain KAFA.edu.my serta logo sendiri.

Hasilnya, daripada negeri dengan kedudukan tercorot dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) di peringkat kebangsaan iaitu di tangga ke-13 pada tahun 2015, kepada tempat pertama selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017.

Kecemerlangan UPKK dan penggunaan teknologi

Menurut Pengerusi Persatuan Guru- Guru KAFA dan Penyelia KAFA Pulau Pinang, MOHD. NAIM SALLEH, pencapaian tersebut bukan suatu kerja yang mudah melainkan dengan kesungguhan serta usaha berterusan oleh pihak-pihak terlibat.

Mohd. Naim Salleh.

Beliau berkata, langkah awal yang diambil untuk meningkatkan tahap kecemerlangan KAFA Pulau Pinang adalah melalui penubuhan Persatuan Guru-Guru KAFA pada tahun 2016 sebagai badan pengelola bagi program kurikulum dan ko-kurikulum.

“Sebelum ini, tidak ada badan yang mengelola program kurikulum dan ko-kurikulum menyebabkan sistem pembelajaran tampak agak bercelaru kerana semua program dikendalikan oleh sekolah masing-masing.

“Justeru, selepas penubuhan persatuan (Guru-Guru KAFA), kita telah menyelaraskan beberapa program terutamanya berkaitan format soalan peperiksaan UPKK selain turut menganjurkan seminar serta menghantar guru-guru menghadiri kursus.

“Serentak itu, kita juga berusaha mencari kaedah untuk cemerlang dalam UPKK dengan merancang beberapa pendekatan baru dan akhirnya berjaya menduduki tempat kesembilan di peringkat kebangsaan pada tahun 2016.

“Lebih manis lagi apabila pada tahun 2017, kita berjaya menduduki tempat pertama dan mengekalkan kedudukan ini selama tiga tahun berturut-turut,” katanya ketika wawancara khas bersama- sama Buletin Mutiara di Pusat Kegiatan Guru Sekolah-Sekolah Agama Islam Pulau Pinang dekat Tasek Gelugor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Naim juga memberitahu bahawa KAFA Pulau Pinang merupakan KAFA pertama di negara ini yang mengimplementasikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada tahun 2018 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

Malah menurut beliau, semua bahan bantu mengajar juga adalah dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga kerja Persatuan Guru-Guru KAFA Pulau Pinang sendiri.

“Kaedah PdPR yang kita laksanakan adalah dengan cara kita rakam bahan- bahan bantu mengajar ini terlebih dahulu dan dihantar ke sekolah-sekolah untuk dimanfaatkan oleh guru-guru serta para pelajar.

“Selain itu, kita juga memuat naik program-program yang dihasilkan ke laman YouTube KAFA Pulau Pinang untuk membolehkan lebih ramai pelajar mengakses bahan bantu mengajar ini walaupun ketika mereka berada di rumah masing-masing.

“Kaedah ini ternyata berjaya serta mendapat sambutan memberangsangkan sehingga pernah mencapai jumlah ‘views’ sebanyak 443,373 pengunjung sehingga bulan Ogos tahun lepas.

“Selain program PdPR, kita juga pernah menganjurkan pertandingan nasyid terbesar dan program tilawah Al-Quran secara dalam talian,” ulasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Naim menyatakan bahawa hasil sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), KAFA Pulau Pinang berjaya membangunkan dua studio yang dilengkapi dengan kemudahan skrin hijau.

“Studio ini dibangunkan di dua lokasi iaitu di PKG (Padang Menora) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi yang merupakan sekolah rintis untuk pelaksanaan projek PdPR yang mengguna pakai skrin hijau.

“Kebanyakan projek PdPR yang kita hasilkan adalah menggunakan skrin hijau serta peralatan muzik yang ada di studio Team Media KAFA bagi meningkatkan mutu program selain lebih berkesan untuk menarik minat pelajar,” ujarnya.

Mohd. Naim berkata bahawa KAFA Pulau Pinang turut melangkah setapak lagi ke hadapan apabila memperkenalkan kaedah temuduga guru-guru secara dalam talian bermula tahun 2019.

Studio yang dilengkapi skrin hijau untuk menghasilkan program PdPR yang berkualiti.

“Bukan itu sahaja, KAFA Pulau Pinang juga menyediakan perkhidmatan untuk mengisi Rancangan Pengajaran Harian (eRPH) secara dalam talian bermula tahun lepas.

“KAFA Pulau Pinang sekali lagi menjadi institusi pendidikan pertama yang menyediakan kemudahan Kod QR untuk ibu bapa pelajar menyemak aktiviti serta pencapaian anak masing masing di sekolah.

“Kita harap kecemerlangan ini dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang dan lebih banyak inisiatif baru dapat dirangka untuk memastikan KAFA Pulau Pinang sentiasa mendahului serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Cabaran dan harapan

Serentak itu, Mohd. Naim turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan guru-guru KAFA di negeri ini dengan menaikkan elaun saban tahun.

“Sejak tahun 2015, Kerajaan Negeri tidak pernah gagal menyediakan peruntukan untuk elaun tambahan kepada guru-guru KAFA daripada RM50 pada tahun 2015 kepada RM300 kini yang menjadikan elaun yang diterima adalah sebanyak RM1,200 sebulan.

Menyentuh soal cabaran, beliau menjelaskan bahawa permasalahan yang sedang dihadapi oleh KAFA Pulau Pinang adalah berkaitan capaian internet yang kurang memuaskan.

“Berdasarkan maklum balas daripada waris pelajar tentang isu pelaksanaan PdPR ini adalah tentang capaian internet yang lemah sehingga mengganggu tumpuan terhadap proses pembelajaran.

“Selain itu, guru-guru juga masih kekurangan peralatan elektronik seperti peranti pintar dan data internet yang amat penting untuk menghasilkan program- program PdPR,” jelasnya.

Justeru, Mohd. Naim mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti program pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedia ada kini.

“Salah satunya adalah setiap kariah (masjid) diperuntukkan dengan jaringan jalur lebar yang baik supaya murid dapat mengakses bahan PdP tanpa sebarang masalah.

“Selain itu, semua guru perlu diperuntukkan dengan data khas untuk mengakses bahan serta menjalankan PdP selain melengkapkan PKG denga kemudahan internet yang laju,” serunya.

Difahamkan, terdapat 206 buah KAFA di Pulau Pinang iaitu 103 (KAFA Integrasi) dan 103 (KAFA Tulen) dengan jumlah pelajar seramai 43,848 orang.

Jumlah tenaga pengajar pula adalah seramai 1,530 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat kelulusan akademik bermula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga ke ijazah sarjana.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS